Oleh: Prof. Madya Ts. Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin, Nur Syafiqah Bakhtin

Kuala Lumpur, 1 Ogos- Mahasiswa Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dalam Projek Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program) dibawah dana tajaan Geran KTP RMIC UPSI menjayakan program Kembara Angka siri empat yang berlangsung di SMJK Chong Hwa, Kuala Lumpur.

Program bersiri ini berlangsung pada 1 Ogos 2024 melibatkan 40 orang murid tingkatan 3 dan 4 dari SMJK Chong Hwa.

Program pemindahan ilmu yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa, Kuala Lumpur ini berfokuskan kepada murid sekolah ini dalam menguasai dan meningkatkan kemahiran subjek Matematik.

Pendedahan diberikan kepada murid – murid mengenai penggunaan Kit Mabox, Kit Transiso, Kit Geoboard dan Kit Algebase sebagai bahan bantu mengajar (BBM) atau alat pemudah cara khususnya bagi topik Pelan dan Dongakan, Transformasi Isometri dan Algebra dalam subjek Matematik.

Pensyarah dari Fakulti Sains dan Matematik UPSI dan 5 orang mahasiswa matematik UPSI menyediakan bahan bantu mengajar atau kit matematik yang sesuai dengan kurikulum dan tahap kefahaman murid.

Seterusnya, usaha ini selari dengan objektif pembelajaran dan mampu mencapai hasil yang diinginkan. Oleh itu, murid – murid SMJK Chong Hwa yang menjadi peserta bagi program ini telah memberikan maklum balas yang baik dan positif dalam pelaksanaan program ini.

Dalam pada itu, mahasiswa yang menjadi fasilitator bagi program ini turut peroleh kelebihan iaitu pengalaman dan ilmu baharu yang boleh menambah kemahiran insaniah dalam diri mereka.

Hal ini amat penting kerana dengan kemahiran seperti komunikasi berkesan dan penyelesaian masalah, mahasiswa dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi dan cabaran di masa akan datang.

Menurut pengarah UCTC, Prof Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah bahan bantu mengajar adalah medium yang sangat menarik dan menggalakkan murid – murid untuk aktif di dalam bilik darjah.

Dengan menggunakan kit – kit yang diperkenalkan oleh pensyarah dari UPSI ini, penglibatan murid adalah secara langsung dalam proses pembelajaran dan menyelesaikan masalah secara hands-on. Maka, ini dapat meningkatkan pemahaman mereka mengenai konsep matematik dan memperkukuh lagi ingatan mereka.

Pengetua SMJK Chong Hwa, Tan Siew Choo menyambut baik kehadiran dan pelaksanaan program ini. Program Kembara Angka Siri 4 ini menggunakan kit – kit matematik oleh pensyarah kepada pihak sekolah adalah satu inisiatif yang amat berharga.

Perkara ini bukan sahaja dapat meningkatkan pemahaman dan minat murid terhadap matematik, tetapi juga dapat memperkukuhkan hubungan antara universiti dan sekolah.

Secara keseluruhannya, program Kembara Angka Siri 4 di SMJK Chong Hwa memberikan impak positif yang signifikan terhadap pemahaman dan minat murid terhadap subjek matematik.

Kit matematik seperti Kit Mabox, Kit Transiso, Kit Geoboard dan Kit Algebase yang interaktif dan inovatif membolehkan murid belajar dengan cara yang lebih menyeronokkan dan praktikal, meningkatkan keupayaan mereka untuk memahami konsep – konsep matematik dengan lebih mendalam.

Program ini berjaya mencapai objektif untuk memperkukuh pembelajaran matematik dan memberi manfaat jangka panjang kepada prestasi akademik murid – murid.