Oleh: Dr. Kama Shaffeei dan Siti Fatimah Mohamed
Tanjung Malim, 15 Julai 2024 – Lembaga Pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (LPU) mengadakan lawatan rasmi ke Sekolah Seri Budiman, UPSI bertujuan untuk meninjau keadaan sekolah setelah 4 bulan beroperasi.
Kehadiran Pengarah LPU, YBhg. Puan Sri Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah bersama ahli-ahli LPU yang lain, telah memberikan peluang bagi pihak sekolah untuk mempersembahkan kemajuan dan pencapaian yang telah dicapai sejak pembukaannya.
Lawatan ini juga menjadi platform penting untuk mengemukakan sebarang cabaran yang dihadapi oleh pihak sekolah.
Lawatan bermula pada jam 3 petang dan meliputi pelbagai fasiliti di Sekolah Seri Budiman.
Pengarah LPU dan rombongannya melawat perpustakaan dipenuhkan koleksi buku-buku akademik, bilik guru yang dilengkapi dengan kemudahan moden, serta dewan serbaguna yang digunakan untuk pelbagai aktiviti sekolah.
Mereka juga meninjau keadaan kelas, surau yang menjadi tempat murid beribadah, dan fasiliti-fasiliti lain. Setiap fasiliti yang dilawati mendapat perhatian khusus dalam usaha memastikan ia memenuhi standard pendidikan yang tinggi.
Sepanjang lawatan, sesi dialog diadakan di setiap lokasi untuk mendapatkan pandangan serta cadangan daripada guru-guru.
Ini memberi peluang kepada warga sekolah untuk berkongsi pengalaman mereka sejak sekolah dibuka, serta menyuarakan keperluan dan harapan mereka.
Ahli LPU menunjukkan minat yang mendalam terhadap input yang diterima dan berjanji akan menilai segala cadangan dengan teliti. Usaha ini diharapkan dapat meningkatkan lagi kualiti pembelajaran dan pengajaran di Sekolah Seri Budiman.
Lawatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada LPU untuk melihat sendiri keadaan dan kemudahan di Sekolah Seri Budiman, tetapi juga untuk mendengar maklum balas daripada guru-guru.
Perbincangan yang diadakan sepanjang lawatan ini membolehkan LPU memahami keperluan sebenar sekolah dan merangka strategi yang lebih efektif untuk masa hadapan.
Pihak sekolah amat menghargai perhatian dan sokongan yang diberikan oleh LPU, dan yakin bahawa kerjasama ini akan membawa kepada peningkatan kualiti pendidikan serta menghasilkan murid-murid yang cemerlang dan berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.