Oleh:  Dr. Mon Redee Sut Txi, OLY Penyelaras Unit Sukan, Permainan dan Rekreasi Pusat Kokurikulum, UPSI

Tanjong Malim: Pedagogi merupakan kajian berkaitan pengajaran dalam pendidikan formal. Menurut kamus dewan yang menyatakan pedagogi adalah kajian tentang kaedah dan prinsip pengajaran.

Di sekolah, pedagogi merupakan kursus yang wajib dalam kalangan guru bagi membantu dalam proses pengajaran yang lebih efektif.

Oleh itu, Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kursus Pedagogi untuk semua Tenaga Pengajar Kursus Kokurikulum Berkredit.

Ini adalah seiring dengan salah satu syarat wajib baharu untuk lantikan bagi mengajar kursus kokurikulum berkredit seperti yang diluluskan oleh Senat Universiti.

Kursus ini dijalankan secara fizikal dan dikelola oleh dua panel. Diantara subtopik yang dibincangkan adalah struktur dan proses mengajar, kawalan pengajaran, teknik kawalan suara serta gaya dan penilaian pembelajaran.

Seramai 80 orang Tenaga Pengajar Kursus Kokurikulum Berkredit Pusat Kokurikulum, UPSI telah menyertai kursus ini.

Pendekatan pengajaran secara santai dan mudah difahami daripada Timbalan Pengarah Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi, Dr Mohd Razimi Husin dan Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Dr. Nik Muhammad Hanis Nek Rakami telah banyak membantu peserta dalam menguasai dan memahami konsep-konsep yang dibincangkan dalam cara yang lebih mudah, menarik dan menyeronokkan.

Tambahan pula, dengan peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mengajar Kursus Kokurikulum Berkredit Unit Sukan, Permainan dan Rekreasi, Unit Persatuan, Seni dan Kebudayaan serta Unit Badan Beruniform telah memberi banyak berbincangan secara kolaboratif terhadap pelbagai topik yang sukar untuk difahami.

Hal ini telah dapat meningkatkan keyakinan diri peserta dalam memahami dan mengaplikasi pendekatan pedagogi bagi membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka kelak.

Sepanjang kursus tersebut, peserta telah dapat bertukar idea dan pendapat, berkongsi pengalaman dan sumber pengajaran dalam pendidikan kokurikulum.

Kursus ini berpotensi memberi ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat untuk membentuk budaya ilmu yang proaktif secara formal dan tidak formal dalam kalangan tenaga pengajar pusat kokurikulum.

Diantara tujuan utama Kursus Kokurikulum adalah untuk memberi pengkayaan dan ilmu tambahan sebagai nilai tambah seseorang mahasiswa di Universiti apabila mereka bergelar graduan.

Kursus ini telah mendapat maklum balas yang sangat positif daripada para peserta. Respon yang positif ini telah menunjukkan bahawa kursus seperti ini harus dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang mengikut keperluan Kursus Kokurikulum di Univerisiti.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa kursus yang dianjurkan oleh Pusat Kokurikulum dan pusat pedagogi, penyelidikan dan inovasi, UPSI ini telah berjaya mencapai objektif yang diharapkan.

Semoga dengan kursus-kursus seperti ini akan dapat membantu para Tenaga Pengajar Kursus Kokurikulum Berkredit dalam menguasai dan mengukuhkan lagi ilmu dan pengetahuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran masing-masing.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)