TANJONG MALIM, 18 November 2026 – Pusat Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA) menerima syor pensijilan MS ISO 21101:2014 – Adventure Tourism Safety Management System (ATSMS).
Lebih membanggakan, UPSI Adventure Park (UAP) menjadi taman pengembaraan pertama di Malaysia yang disyorkan menerima pensijilan tersebut.
Syor pensijilan yang dikemukakan oleh NIOSH Certification Sdn. Bhd.itu selepas AURORA berjaya melalui proses audit menyeluruh yang menilai pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan, pengurusan risiko, kompetensi petugas serta prosedur operasi aktiviti pengembaraan.
Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Profesor Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim, berkata pencapaian itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh peranan AURORA sebagai akademi pembangunan kompetensi dan kecemerlangan pengurusan aktiviti pengembaraan.
Melalui usaha ini, Pusat Kokurikulum UPSI berhasrat memperluas perkongsian kepakaran dan amalan terbaik kepada institusi pendidikan, agensi kerajaan serta penggiat industri bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam sektor rekreasi dan pendidikan luar.
