KUALA BERANG, 27 OKTOBER 2026 – Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Kursus Pemudah Caraan Pendidikan Luar pada 25 hingga 27 Oktober 2026 bertempat di Kompleks Pusat Kokurikulum Negeri Terengganu (PusKoNT).

Kursus ini telah dihadiri oleh 25 jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri Terengganu dan dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Mazuki bin Mohd Yasim, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, sebagai penceramah yang berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan pengurusan aktiviti serta pembangunan kompetensi pemudah caraan dalam bidang pendidikan luar.

Penganjuran kursus ini bertujuan melahirkan pemudah caraan pendidikan luar yang berkemampuan, kompeten dan berdaya tahan dalam mengendalikan aktiviti pendidikan luar secara sistematik, berkesan dan selamat. Kursus ini turut menjadi platform untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peserta dalam mengaplikasikan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam pelaksanaan aktiviti pendidikan luar.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen Pusat Kokurikulum UPSI melalui Unit Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA) dalam memperluas jaringan kerjasama strategik bersama agensi pendidikan serta memperkukuh pembangunan profesionalisma dalam bidang rekreasi dan pendidikan luar.

Melalui inisiatif ini, diharapkan para peserta dapat mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh dalam pelaksanaan program pendidikan luar di institusi masing-masing, seterusnya melahirkan generasi yang mempunyai daya kepimpinan, keyakinan diri, kemahiran insaniah dan keupayaan menghadapi cabaran.