TANJONG MALIM, 4 NOVEMBER 2026 – Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Universitas Harapan Medan, Indonesia dan Institut Teknologi dan Bisnis Asia, Malang, Indonesia telah menganjurkan Webinar Antarabangsa Pusat Kokurikulum bertemakan “Senyum di Luar, Penatnya di Dalam: Realiti Kesihatan Mental Mahasiswa” secara dalam talian menerusi platform Google Meet, hari ini.
Webinar yang dihadiri seramai 454 orang peserta yang berlangsung pagi ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat, khususnya golongan mahasiswa, terhadap kepentingan kesihatan mental dalam kehidupan sebagai seorang pelajar di institusi pendidikan tinggi.
Program ini menampilkan Dr. Che Anuar bin Che Abdullah, pensyarah bidang bimbingan dan kaunseling yang juga merupakan Pengetua Kolej Kediaman Harun Aminurrashid, UPSI sebagai panel penceramah, manakala Dr. Nor Suriya binti Abd Karim, Penyelaras Persatuan, Seni dan Kebudayaan, Pusat Kokurikulum, UPSI bertindak sebagai moderator.
Perbincangan memberi penekanan terhadap realiti kehidupan mahasiswa yang sering berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan, termasuk tuntutan akademik, pengurusan masa, hubungan sosial serta cabaran peribadi. Tema yang diketengahkan turut membawa mesej bahawa senyuman dan penampilan luaran seseorang tidak semestinya menggambarkan keadaan emosi dan kesejahteraan mental yang sebenar.
Menerusi perkongsian ini, para peserta berpeluang mendapatkan pendedahan dan pemahaman tentang kepentingan mengenali tanda-tanda tekanan emosi, membina daya tahan diri serta mengamalkan pendekatan yang positif dalam mengurus kesihatan mental. Kesedaran untuk mendapatkan sokongan dan bantuan apabila diperlukan turut menjadi antara aspek penting dalam membentuk kesejahteraan diri mahasiswa.

Penganjuran webinar antarabangsa ini juga mencerminkan komitmen Pusat Kokurikulum UPSI dalam memperluas jaringan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa, khususnya melalui perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman antara Malaysia dan Indonesia.
Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada penglibatan warga universiti dan masyarakat umum dalam membincangkan isu kesejahteraan mahasiswa yang semakin penting dalam persekitaran pendidikan tinggi masa kini.
Diharapkan penganjuran webinar seumpama ini dapat memberikan manfaat kepada para peserta serta menyemarakkan kesedaran bahawa kesihatan mental merupakan aspek penting yang perlu diberikan perhatian dalam usaha melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial.
