Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk, Perak telah dipilih menjadi Kampung Angkat Madani (KAM) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Malaysia (KKDW) baru-baru ini. Kewujudan KAM adalah bertujuan untuk menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan. Selain itu, program-program permerkasaan modal insan juga dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Seri Iskandar, Perak iaitu Program Keceriaan Kampung pada 6 dan 7 Ogos 2024 bertempat di Sekolah Kebangsaan Sungai Betul.
Bersama anak angkat dari UPSI dan UiTM
Program Keceriaan KAM ini meliputi program anak angkat, gotong-royong, lukisan mural sekolah, menaiktaraf kemudahan awam dan pemasangan tanda nama Kampung Sungai Betul. Program ini dilaksanakan untuk membina perhubungan dan kerjasama yang erat antara agensi kerajaan, komuniti kampung, dan agensi setempat. Program ini melibatkan hampir 150 orang pelajar dan kakitangan UPSI dan UiTM beserta 23 keluarga angkat mampu mewujudkan keharmonian dan persekitaran kampung yang kondusif, dengan fokus kepada peningkatan kualiti hidup penduduk serta mempromosikan suasana yang aman dan harmonis dalam masyarakat.
YBrs En. Che Mohd Zulkifli Ismail, Setiausaha Bahagian, Bahagian Komuniti Desa, KKDW, dalam ucapannya menekankan bahawa setiap kementerian akan memilih sebuah kampung yang bertuah sebagai kampung angkat madani. Beliau menerangkan bahawa pelbagai kepakaran di bawah KKDW akan digembleng untuk menyumbang kepada kemajuan desa. Beliau juga menyampaikan hasrat kerajaan yang selari dengan ucapan Perdana Menteri, iaitu setiap kampung angkat madani akan diperuntukkan dana sebanyak RM 2.5 juta untuk mewujudkan kampung yang lestari dan mampu memperoleh pendapatan sendiri, katanya.
YBrs. Prof. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (HEP&A) berkata, UPSI memainkan peranan penting dalam program ini dengan menyumbang kepada pembersihan persekitaran Masjid Ismailiah dan Sekolah Agama Rakyat. “Aktiviti ini tidak hanya memperbaiki kebersihan tetapi juga memastikan suasana pembelajaran di sekolah menjadi lebih kondusif. Selain itu, UPSI turut terlibat dalam pembersihan pantai Beting Beras Basah, menjadikannya lebih menarik sebagai destinasi pelancongan. Selain daripada aktiviti pembersihan, UPSI juga memasang tanda pengenalan kampung dan membersihkan rumah warga emas uzur ujar beliau”, ujar beliau.
Gimik serahan anak angkat UPSI disaksikan oleh En Che Mohd Zulkifli Ismail, Setiausaha Bahagian, Bahagian Komuniti Desa, KKDW
Salah seorang peserta, Saudara Nik Muhammad Izzat berkata beliau berharap agar program ini dapat memberi impak kepada penduduk Kampung Sungai Betul. “Saya bersama 37 orang rakan pelajar UPSI akan berusaha untuk melakukan aktiviti kesukarelawan yang dapat meninggalkan impak kepada Masyarakat disini. Kami gembira kerana terpilih dan berterima kasih kepada pihak KKDW kerana memberi peluang kepada kami bagi memantapkan sahsiah diri sebelum menempuhi alam pekerjaan”, tambah beliau.
TNC HEPA bersama salah seorang urus setia KKDW