OLEH : NELLY KARRISA BINTI YUSNI

Seramai 11 orang Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh telah diberikan kesempatan untuk menyertai program “Heritage and Patriotic Tourism Festival Lenggong Perak 2024”. Program ini telah mendapat kelulusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Perak dan telah dijalankan selama 3 hari 2 malam iaitu pada 2 hingga 4 Ogos yang lalu.

Salah satu tujuan program ini diadakan adalah untuk memperkenalkan ketokohan dan keunggulan para pejuang negara agar terus diingati, dihayati dan dihargai sejarah perjuangannya sepanjang zaman. Disamping itu, program ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad Menteri Besar Perak pada 3 Ogos 2024 jam 9.00 pagi di Dewan Merdeka, Lenggong, Perak.

Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang menarik seperti Patriot Trail yang mengajar kita bagaimana para pejuang berjaya mempertahankan diri di dalam hutan. Selain itu, para peserta juga telah didedahkan dengan aktiviti yang lain seperti perkampungan survival, pengenalan kepada tumbuhan herba dan teknik menyelamat di darat. Tidak lupa juga aktiviti Bicara Patriot yang diadakan pada waktu malam untuk para pejuang berkongsi pengalaman-pengalaman mereka dalam mengharungi cabaran ketika peperangan.

Sebagai penghias bicara akhir, program patriotik seperti ini yang diadakan bersempena bulan kemerdekaan bukan sahaja mengingatkan kita kepada jasa dan pengorbanan para pejuang malahan menguatkan semangat cinta tanah air dalam kalangan rakyat terutamanya kalangan belia. Diharapkan dengan kehadiran Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh ke program ini, mereka mampu membawa imej baharu bagi memimpin sebuah organisasi ke arah yang lebih efektif.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)