Oleh: Boniface Garin Anak Joannes

Tanjong Malim: Pada 5 Ogos 2024, Felo Kolej Awang Had Salleh (KAHS)  telah mengadakan sesi perjumpaan bersama penghuni KAHS yang diuruskan oleh Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh sidang 2024/2025 untuk menyantuni dan mendengar keluhan serta cadangan mereka. Perjumpaan ini diadakan yang bermula dari jam 8:00 malam sehingga 10:30 malam di Dewan Kolej Ungku Omar dan dihadiri oleh lebih 567 penghuni.

Tujuan santun penghuni Blok B dan Blok C ini diadakan untuk merapatkan hubungan antara felo dan penghuni Blok tersebut serta membantu dalam pembentukan sahsiah penghuni KAHS. Felo Blok C, Encik Muhammad Hafiz bin Abd Manap menekankan kepentingan menjaga keharmonian dan kesejahteraan serta harga diri kalangan penghuni KAHS. Perakara ini selari dengan kandungan dalam buku peraturan universiti.

Acara dimulakan dengan sesi ucapan oleh Encik Muhammad Hafiz bin Abd Manap yang menyentuh tentang pengenalan ringkas berkaitan dengan Kolej Awang Had Salleh. Beliau turut menekankan beberapa perkara yang termaktub dalam buku peraturan universiti seperti perkara 14 bahagian Peraturan Kolej Kediaman Kaedah 35(1), Kaedah-kaedah Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi meningkatkan kesedaran penghuni di KAHS.

Selepas itu, sesi pencarian bakat pelajar dalam kalangan penghuni blok yang diteruskan oleh Felo Blok B, Encik Muhammad Haikal bin Musa. Sesi ini berjaya membantu dalam meningkatan keyakinan penghuni untuk menonjolkan bakat diri mereka.

Perjumpaan ini berjaya meningkatkan semangat kekitaan dalam kalangan penghuni KAHS. Mereka berasa lebih dihargai dan didengari oleh pihak pengurusan. Hubungan yang lebih baik antara felo dan penghuni dijangka akan mencipta suasana kolej yang lebih harmoni dan kondusif untuk pembelajaran.

Felo Blok B, Encik Muhammad Haikal bin Musa dan Felo Blok C, Encik Muhammad Hafiz bin Abd Manap menyatakan harapan masing-masing agar perjumpaan seperti ini dapat diadakan secara berkala. “Kami komited untuk memastikan kolej ini menjadi tempat yang selesa dan selamat untuk para pelajar. Dengan kerjasama dan komunikasi yang baik, kita dapat mencapai matlamat ini bersama-sama,” tambah salah seorang daripada felo tersebut.