OLEH: NURFATIN SYAZWANI BINTI HALIMI
Tanjong Malim, UPSI – Pada 7 Ogos 2024 telah berlangsungnya edaran makanan secara percuma kepada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dapur Kasih Bitara Al-Mursyidin Kitchen telah berjaya meneruskan program ini sehingga siri yang ke 9 pada tahun 2024. Makanan ini diedarkan terhad kepada 500 pek sahaja buat pelajar yang menuntut di UPSI. Lokasi edaran adalah bertempat di Kolej Awang Had Salleh, Kampus Sultan Azlan Shah dan Pintu Timur, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Dapur Kasih Bitara Al- Mursyidin Kitchen melancarkan inisiatif berwawasan untuk menyokong pelajar dengan menyediakan makanan percuma. Langkah ini bertujuan untuk membantu mengatasi isu kekurangan makanan yang mungkin dihadapi oleh pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, memastikan mereka dapat fokus pada pembelajaran tanpa terganggu oleh kebimbangan tentang makanan.
Dalam usaha ini, Dapur Kasih Bitara Al- Mursyidin Kitchen bekerjasama dengan Pusat Islam UPSI, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Akademik (JHEPA), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kolej Awang Had Salleh (KAHS) untuk memastikan pembahagian makanan dilakukan secara sistematik dan berkesan. Makanan yang disediakan tidak hanya mengutamakan kesihatan tetapi juga memenuhi keperluan nutrisi pelajar untuk menyokong pertumbuhan dan tumpuan dalam pembelajaran.

Pengarah Pusat Islam UPSI, Ustaz Muhammad Tarmizi bin Abd Rahman turut turun tangan dalam proses mengagihkan makanan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang menetap di Kolej Awang Had Salleh, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada Pengetua Kolej Awang Had Salleh, Dr Mardiana binti Ismail serta barisan pentadbiran, felo dan Majlis Mahasiswa Kolej kerana turut membantu beliau dalam usaha untuk melancarkan program ini. Beliau juga berhajat untuk bekerjasama lagi pada masa hadapan.

Dapur Kasih Bitara Al- Mursyidin Kitchen berharap program ini dapat memperkukuhkan sokongan kepada pelajar dan memperbaiki kualiti hidup mereka. Selain itu, Dapur Kasih Bitara Al- Mursyidin Kitchen juga berharap agar program ini dapat meningkatkan kesejahteraan pelajar dan menggalakkan pencapaian akademik yang lebih baik pada masa yang akan datang.
