Oleh: Dr. Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan
Tanjong Malim, 7 Ogos 2024- Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) memanfaatkan Program Rabu for Qalbu (R4Q) dengan menganjurkan ceramah Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaaan atau Risk Management dan Occupational Safety and Health (ROSH).
Ceramah disampaikan oleh tiga orang pegawai di Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UPSI yang diketuai oleh Penolong Pendaftar Kanan Encik Rozdi Mohamed Noor, Penolong Pegawai Sains Encik Muhammad Arif Mat Saat dan Puan Siti Dewi Masitah Mohd Mokhtar.
ROSH ditubuhkan mengikut keperluan arahan dasar kerajaan melalui Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan peraturan-peraturannya. Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OHS) ialah bidang pelbagai disiplin yang berkaitan dengan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang di tempat kerja.
Matlamat program keselamatan dan kesihatan pekerjaan ialah untuk memupuk persekitaran kerja yang selamat dan sihat. OSH juga boleh melindungi rakan sekerja, ahli keluarga, majikan, pelanggan dan lain-lain yang mungkin terjejas oleh persekitaran tempat kerja.
Dalam ceramahnya Encik Rozdi Mohamed Noor menerangkan bahawa ROSH diberi tanggungjawab untuk menerajui pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengurusan risiko universiti.
Dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan tersebut, ROSH menggariskan beberapa objektif seperti berikut: pertamanya, memantapkan pengurusan risiko selaras dengan keperluan tadbir urus universiti; kedua, memastikan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif; dan ketiga, memastikan piagam pelanggan dicapai.
Dalam bidang kuasa undang-undang umum, UPSI mempunyai kewajipan undang-undang yang sama untuk menjaga keselamatan pekerja mereka. Undang-undang Statut juga boleh mengenakan duti am yang lain, memperkenalkan tugas khusus dan menubuhkan jawatankuasa untuk mengawal selia isu-isu keselamatan di tempat kerja.
Di PTB, UPSI bertanggungjawab memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja terjaga. Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) diwujudkan yang diketuai oleh Ketua Pustakawan. JKKP bertanggungjawab memantau pematuhan kepada Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Penolong Pegawai Sains, Encik Muhammad Arif Mat Saat menerangkan tentang ciri-ciri keselamatan yang perlu dipatuhi oleh majikan di premis tempat staf bekerja dan bagaimana cara untuk mewujudkan tempat kerja yang selamat. Ini termasuklah Polisi atau dasar kesihatan dan keselamatan untuk organisasi disediakan; Lantik komiti bagi kesihatan dan keselamatan yang terdiri dari pihak pengurusan dan juga kakitangan; Berbincang selalu mengenai isu-isu keselamatan di tempat kerja; Berikan pekerja latihan dan pendidikan mengenai amalan cara kerja yang selamat; Sediakan peti kecemasan yang diisikan dengan keperluan-keperluan perubatan kecemasan.
Manakala untuk langkah-langkah keselamatan kebakaran pula pastikan perkara ini diberi perhatian seperti Pintu kecemasan tiada halangan di laluannya; Pemasangan alat pemadam api dan hos di tempat yang sesuai dan selalu diperiksa; Tandakan tempat berkumpul semasa kecemasan; Paparkan pelan evakuasi semasa kecemasan; Latihan kebakaran dengan bantuan pihak bomba; Penggunaan alat pemadam yang sesuai di tempat barangan berharga dan Gunakan alat perlindungan keselamatan diri yang disyorkan.
Penolong Pegawai Sains, Puan Siti Dewi Masitah Mohd Mokhtar pula mengetengahkan garis panduan bagi premis outlet penyediaan makanan seperti restoran dan café yang dibangunkan sebagai panduan kepada pengusaha premis outlet makanan dalam kampus yang terlibat dalam penyediaan, pemprosesan, penyimpanan dan penghidangan makanan bagi tujuan jualan.
Garis panduan ini merangkumi beberapa elemen iaitu pendaftaran premis, pengendali makanan, bangunan dan kemudahan, peralatan dan perkakasan, kawalan proses, kebersihan dan penyelenggaraan dan kawalan makhluk perosak di premis outlet makanan.
Setiap elemen menerangkan keperluan asas yang perlu dipatuhi sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pengusaha premis outlet makanan di kampus UPSI untuk melaksanakan keperluan keselamatan makanan yang telah ditetapkan bagi memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat untuk dimakan oleh pengguna dan seterusnya dapat mengelakkan kejadian keracunan makanan.
Ceramah yang diadakan di Auditorium PTB ini dihadiri oleh 60 orang staf perpustakaan dan pelajar praktikal sangat berinformasi dan memberi manfaat kepada semua pihak demi menyediakan tempat kerja yang selamat dan kondusif. Sesi soal jawab yang dapat dikendalikan dengan baik oleh Encik Ahmad Tamrin Mohd Ali Hanafiah dari Perpustakaan Tuanku Bainun berjaya memberikan input tambahan serta menyelesaiakan persoalan yang ditimbulkan oleh para hadirin.