Oleh: Harnani Mat Zin

Shah Alam, 6 Ogos – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) UPSI menerusi SIG Information System and Technology Integration (ISTI) mengadakan lawatan penanda aras makmal Apple-STDC dan perbincangan kerjasama bersama Selangor Technical Skills Development Centre (STDCx) dan juga Apple Education.

Lawatan ini disertai oleh lima (5) orang pensyarah FKMT dan seorang pegawai Teknologi Maklumat, FKMT. Kunjungan daripada FKMT telah disambut oleh beberapa orang wakil daripada pihak STDCx dan Apple.

STDCx adalah sebuah Institut Pendidikan di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang berpangkalan di Shah Alam.

Sebagai sebuah pusat latihan professional terkemuka dunia, STDCx komited untuk melengkapkan individu dengan kemahiran teknologi berasaskan nilai lanjutan dalam automasi, mekatronik, sistem awan dan banyak lagi, untuk menyokong IR 4.0, iaitu meningkatkan kepakaran dan inovasi, serta meningkatkan potensi diri setiap individu.

Sesi perbincangan

Lawatan penanda arasan ini diadakan adalah untuk mengintai peluang kerjasama antara UPSI dan STDCx serta ingin melihat peluang untuk mendapatkan kursus dan pensijilan yang berkaitan, khususnya kursus yang dianjurkan oleh Apple disamping melihat prasarana yang boleh dijadikan panduan untuk menghasilkan sebuah makmal Apple bertaraf antarabangsa.

Ketua SIG ISTI, Prof Madya Dr Aslina Saad menyatakan rasa gembira kerana diberikan peluang untuk mengadakan lawatan penanda aras pada hari ini. Beliau berharap agar lawatan pada hari ini akan menjadi titik permulaan untuk kerjasama yang lebih luas di masa akan datang.

“Banyak manfaat yang bakal diperoleh jika kerjasama ini berhasil. Antaranya ialah peluang menjalani latihan industri di STDCx untuk para pelajar FKMT,” katanya.

Sesi lawatan di sekitar STDC

Chief of Operation, STDCx, Dr Ir Muhidin Arifin menyokong baik usaha kerjasama antara STDCx dan UPSI khususnya pihak FKMT dalam memperkukuh institusi pendidikan dan latihan untuk para pelajar.

“Diharapkan agar lawatan serta perbincangan pada hari ini akan membuka banyak ruang dan peluang untuk kerjasama di masa akan datang demi kelestarian pendidikan Negara,” katanya.

Wakil Apple, Pn Wan Noraini Wan Daud berkata pelbagai tools atau perisian percuma yang diberikan oleh Apple untuk membantu pelajar dan pensyarah untuk menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan interaktif.

“Masih ramai yang tidak tahu mengenainya kerana limitasi hebahan. Jadi, saya berharap agar kerjasama dengan FKMT, UPSI ini nanti akan dapat membantu menyebarluaskan ilmu tersebut, ” katanya.

Sesi serahan cenderahati

Perbincangan yang berlangsung selama 3 jam itu telah membuka banyak peluang kerjasama yang bakal dilaksanakan di antara FKMT dan STDCx. Selain itu, sesi lawatan ke sekitar bangunan STDCx juga turut diadakan bagi meninjau ruang dan fasiliti yang ada di STDCx.

Peserta lawatan dari UPSI bersama wakil Apple dan STDCx

Lawatan penanda aras ini telah memberikan banyak manfaat kepada pensyarah yang hadir. Diharapkan agar lawatan ini menjadi titik permulaan untuk kerjasama yang lebih luas pada masa akan datang.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)