Oleh: ChM Dr. Sharifah Norain Mohd Sharif, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI
TANJONG MALIM, 7 Ogos – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) melaksanakan Kursus Pembelajaran Kolej Vokasional – Jabatan Kimia: Amali Penyaduran.
Program ini, yang merupakan anjuran kali kedua, melibatkan penyertaan seramai 23 pelajar dan 3 guru pengiring dari Kolej Vokasional Slim River.
Kursus ini dilaksanakan khusus untuk mendedahkan pelajar kepada dunia sains dan teknologi kimpalan melalui pendekatan yang seimbang antara teori dan amali.
Dengan bimbingan daripada pensyarah kanan dari Jabatan Kimia FSM, Dr. Mohamad Syahrizal Ahmad, pelajar diberi peluang untuk mendalami teori ilmu penyaduran dan menjalankan eksperimen penyaduran logam dalam makmal, memperkayakan pemahaman mereka tentang proses saintifik yang digunakan dalam industri penyaduran moden.
Menurut Pengarah Program ChM Dr. Sharifah Norain Mohd Sharif, kursus ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal pelajar tetapi juga membangunkan kemampuan analitikal dan kritikal pelajar Kolej Vokasional Slim River.
“Dengan memberikan pengalaman pembelajaran yang komprehensif, kami berharap dapat mempersiapkan pelajar dengan teori asas penyaduran yang dapat menjadi teras untuk pelajar menghadapi cabaran dalam industri yang sentiasa berubah,” tambah beliau.
Selain aspek pembelajaran, program ini juga mengukuhkan kerjasama antara UPSI dan masyarakat luar kampus. Kolaborasi antara pensyarah, staf universiti, serta tenaga pengajar dan pelajar kolej vokasional mencipta suasana pembelajaran yang inklusif dan menyokong pertukaran idea serta pengetahuan antara semua pihak.
Ketua Program Teknologi Kimpalan dari Politeknik Vokasional Slim River Encik Mohd Shukri Martius memuji inisiatif ini sebagai langkah positif untuk melengkapkan satu bahagian kompetansi dalam modul pelajar Program Teknologi Kimpalan “Pelaksanaan program ini membantu dalam melengkapkan satu bahagian kompetansi dalam modul pelajar Program Teknologi Kimpalan, yang juga merupakan satu bentuk penilaian berterusan pelajar Kolej Vokasional Slim River,” katanya.
Program ini telah membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan pemahaman pelajar mengenai sains dan teknologi, serta merangsang minat mereka untuk meneroka bidang ini secara mendalam.
Keterujaan jelas terpancar di wajah pelajar yang terlibat, apabila mereka berpeluang merasai suasana pembelajaran di universiti.
Bagi kebanyakan daripada mereka, ini adalah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi, dan peluang ini dianggap sebagai suatu pengalaman yang amat berharga.
Dengan kejayaan penganjuran kali kedua ini, FSM berhasrat untuk terus menyediakan program-program seumpamanya pada masa hadapan, bagi memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi serta mempersiapkan mereka untuk menyumbang kepada pembangunan industri negara.
Dengan sokongan berterusan dari pelbagai pihak, FSM komited untuk terus berusaha melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
Kursus ini adalah manifestasi komitmen UPSI dalam menyokong aspirasi negara untuk melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berpengetahuan tinggi.
Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, program ini dijangka akan terus memberi impak positif kepada pelajar dan komuniti, membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing.