Oleh: Ainur Farisya Mohamad Hafizi dan Siti Nur Balqis Mohd Asrul
Tanjong Malim– Pada minggu yang lalu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kemasukan pelajar baharu Diploma daripada pelbagai bidang program pengajian.
Dengan matlamat memberi pendedahan kepada pelajar baharu mengenali lebih mendalam tentang UPSI, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) sekali lagi menyahut seruan universiti dengan mengadakan orientasi pelajar selama seminggu yang lebih dikenali sebagai Program Minggu Haluan Siswa (MinHaS FPM) yang melibatkan seluruh warga FPM melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (JPAKK), Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK) dan juga Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sidang 2023/2024.
Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk memberi peluang dan ruang kepada seramai 87 orang pelajar baharu Diploma PAKK, FPM untuk mengenali UPSI dan fakulti dengan lebih mendalam yang melibatkan dua kampus utama, jelajah universiti iaitu Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) dan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS).
Program ini diadakan selama lima hari berturut-turut bermula 29 Julai sehingga 2 Ogos 2024. Pelbagai aktiviti dan slot pengisian yang menarik telah dirangka oleh Ahli Jawatankuasa Pelaksana (AJK) program bersama Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) FPM dengan memberi pelbagai pendedahan kepada pelajar baharu.
Antara slot pengisian yang telah dilaksanakan sepanjang program MinHaS ini antaranya, slot “Tak Kenal Maka Tak Cinta”, Kenali Barisan Pensyarah dan pengurusan fakulti, Rabu Qalbu FPM, Lawatan ke NCDRC, slot bersama Penasihat Akademik, jelajah kampus, Serlahkan Bakatmu dan slot Aktiviti bersama Persatuan DPAKK.
Pada hari pertama MinHaS, slot Tak Kenal Maka Tak Cinta bersama pensyarah iaitu Dr.Norly Jamil dan saudari Umairah yang mengendalikan aktiviti ice breaking secara outdoor dengan menekankan semangat kerjasama setiap ahli kumpulan.
Pada hari tersebut juga turut diadakan slot Mari Kenali Fakulti bersama pensyarah Puan Fairuz ‘Ain dan saudari Sharbilla. Antara aktiviti yang dijalankan iaitu pengurusan fakulti bersama TDHEPA FPM iaitu Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan dan Ketua Jabatan, Dr. Seah Siok Peh serta mengenali barisan pensyarah Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Pada hari kedua pula MinHaS FPM iaitu slot bersama pensyarah Puan Iylia Mohamad dan saudara Arif. Slot ini adalah untuk membina hubungan yang rapat antara pelajar diploma ambilan baharu dan barisan pensyarah diploma.
Lawatan ke KSAJS turut dijalankan pada sebelah petang yang dikendalikan oleh Dr.Iylia Dayana dan saudari Balqis yang mana Jelajah Kampus KSAJS ini dijalankan untuk memberi peluang kepada pelajar diploma ambilan baharu untuk teroka dan mengetahui lokasi bangunan-bangunan utama di dalam kampus contohnya bangunan E-Learning dan Pusat Kesihatan UPSI.
Seterusnya, aktiviti pada hari ketiga diteruskan lagi oleh pengelola pensyarah Cik Hasviniy Padmanathan dan saudari Hidayah melalui slot Rabu Qalbu FPM.
Aktiviti senamrobik bersama pelajar dan warga FPM dilaksanakan bersama-sama dengan pengurusan fakulti. Pada sebelah petang pula dilaksanakan lawatan ke stadium dan Arena UPSI yang dikendalikan oleh pensyarah Dr. Albaree dan saudara Wafi.
Aktiviti ini diadakan untuk pelajar mengenali setiap ruang dan fasiliti yang terdapat di KSAS, UPSI seperti gimnasium, stadium, gelanggang indoor dan kolam renang.
Di samping itu, pada hari keempat iaitu di bawah slot Dr Intan Farahana Abdul Rani dan saudari Azura, pelajar dibawa melawat ke National Child Development Research Centre (NCDRC) yang merupakan pusat kajian kanak-kanak pertama ditubuhkan di Malaysia.
Aktiviti yang dilakukan ialah zumba bersama kanak-kanak NCDRC dan sesi perkongsian bersama Dr. Syazwani Aniyah dan Cikgu Noraida kepada para pelajar yang bertempat di Dewan Jauhar.
Pada sebelah petang pula diadakan perjumpaan bersama Penasihat Akademik iaitu Puan Norrulkamari Daud, Cik Nadia Shahirah dan Cik Hasviniy. Slot ini dikelolai kan oleh Puan Farhana Nohrin dan saudari Ainur Farisya.
Slot ini menekankan kepada peranan penasihat akademik dalam membantu akademik dan rujukan kepada pelajar sepanjang pengajian Diploma di UPSI.
Hari terakhir pada 2 Ogos 2024, slot bersama Persatuan DPAKK yang dijalankan oleh Puan Norrulkamari dan saudari Nurazrien. Beberapa aktiviti telah dijalankan bersama pelajar baharu dan AJK Pelaksana program dengan memberi pendedahan mengenali persatuan dengan lebih mendalam iaitu pengenalan oleh penasihat persatuan, barisan ahli jawatankuasa Persatuan dan aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang sidang 2024/2025.
Akhir sekali, slot kemuncak bagi program MinHaS FPM iaitu majlis penutupan yang diadakan dengan persembahan bakat pelajar yang bertemakan Bollywood Gala yang dikendalikan oleh Cik Nadia Shahirah dan saudari Ain.
Persembahan bakat pelajar ini diadakan adalah untuk menonjolkan dan menyerlahkan bakat pelajar baharu FPM seperti menari, menyanyi dan berlakon yang menekankan pelbagai elemen dalam kehidupan sebagai pelajar.
Perasmian penutupan program MinHas FPM disempurnakan oleh TDHEPA FPM dan tutup tirai program adalah sesi fotografi bersama-sama yang hadir.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada seluruh jawatankuasa pelaksana program, warga FPM dan juga pihak kerjasama dalam menjayakan Program Minggu Haluan Siswa FPM ini.
Semoga program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam menjadikan mahasiswa/i UPSI yang cakna dan sayangkan UPSI tercinta ini.