Oleh: Fatin Hidayah Yunus dan Nur Umairah Nur Muazam

Kem Sungai Dara, Tanjong Malim – Sesebuah negara mempunyai sistem pentadbiran yang lengkap dan teratur dengan mempunyai pemimpin yang berdedikasi dan sesebuah kampung menjadi aman damai disebabkan ketua kampung yang bertanggungjawab atas kesejahteraan penduduk kampung tersebut. Contoh yang dinyatakan menunjukkan betapa pentingnya pemimpin dalam sebuah organisasi. 

Justeru itu, satu program dianjurkan oleh Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sidang 2024/2025 (DPAKK) iaitu Program Terokai Alam Kasih Tercipta (TAKaT) melalui kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPSI yang diketuai oleh Pengarah Program TAKaT, Siti Nur Balqis Mohd Asrul selaku Pengarah Program TAKaT bertempat di Kem Sungai Dara, Tanjong Malim, Perak pada 4 Ogos 2024 yang lalu.

Seramai 40 orang peserta daripada kalangan ahli Persatuan DPAKK mengikuti program ini yang dinaungi bersama oleh Penasihat Persatuan DPAKK iaitu Puan Norrulkamari Daud.

Program ini bermatlamatkan bagi memantapkan lagi semangat kepimpinan serta nilai jati diri dan nilai insaniah dalam kalangan peserta program, pada masa sama dapat memperkemaskan lagi strategi organisasi dalam persatuan. 

Program TAKaT dimulai dengan majlis perasmian oleh Timbalan Pengarah UCTC, UPSI iaitu Profesor Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong.

Melalui ucapan perasmian, beliau amat menekankan aspek keselamatan kepada para peserta agar lebih berhati-hati memandangkan cuaca masih lagi hujan pada ketika itu.

Namun, dengan adanya instruktor yang berkaliber dan terlatih, beliau mengharapkan kelancaran program berakhir dengan baik dan selamat.

Seterusnya, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA), FPM, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan iaitu juga menyampaikan ucapan beliau wakil dari pihak pengurusan fakulti.

“Perjalanan ini mungkin mencabar tetapi ingatlah bahawa setiap cabaran yang dihadapi akan membentuk anda menjadi seorang pemimpin yang lebih baik”, katanya.

Dengan kata-kata yang beliau ucapkan itu menambahkan lagi semangat ahli Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak untuk terus berjuang bagi membentuk jati diri yang lebih baik.

Terdapat 3 slot dalam program TAKat ini yang telah dikendalikan oleh 5 orang instruktor daripada UCTC yang diketuai oleh Enc Mohamad Amin Idros.

Antara elemen yang ditekankan sepanjang program iaitu iaitu pembentukan jati diri, profesionalisme dan kepimpinan peserta iaitu melalui aktiviti ‘Meet and Greet’ bersama UCTC UPSI, Ice-breaking, Water Confident dan Explore the Nature.

Bagi aktiviti pertama iaitu Ice-breaking, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan untuk bermain beberapa permainan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi semangat para peserta dalam kalangan ahli persatuan.

Seterusnya, aktiviti Water Confident melatih peserta untuk lebih berani ketika berada di dalam air. Aktiviti ini telah diberikan taklimat keselamatan oleh salah seorang instruktor yang berpengalaman.

Akhir sekali, kami meneruskan dengan aktiviti Explore the Nature iaitu mendaki bukit kira-kira 500 meter. Semasa slot ini dijalankan, instruktor menerangkan tentang beberapa jenis flora dan fauna di dalam hutan, keperluan penting ketika berada di hutan, strategi membina tempat perlindungan dan juga cara menggunakan kompas dengan betul.  

Melalui aktiviti-aktiviti ini, ahli persatuan dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain serta lebih mengenali antara mereka selain daripada objektif program yang telah ditetapkan.

Program ini juga dapat mendekatkan diri peserta dengan alam melalui aktiviti Explore the Nature yang sangat menenangkan dan dapat meningkatkan stamina melalui aktiviti yan dilaksanakan.

Dengan harapan, semangat kepimpinan dari semua ahli persatuan dapat ditingkatkan dan diaplikasikan dalam organisasi ini.

Sekalung tahniah diucapkan kepada seluruh ahli jawatankuasa program dan juga rakan kerjasama iaitu pihak UCTC dalam menjayakan program yang sangat bermanfaat ini.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)