Oleh: Shahaniza Shamsuddin Penolong Pendaftar Kanan, NCDRC
Muallim, 10 Julai 2024 – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muallim dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) menganjurkan Bengkel Perkhidmatan Kesihatan Remaja pada 9 dan 10 Julai 2024.
Program ini diadakan di Dewan Jauhar NCDRC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melibatkan lebih daripada 80 peserta dari pelbagai latar belakang profesional.
Bengkel ini telah menghimpunkan pakar dan pegawai perubatan, jururawat, pegawai sains pemakanan, guru bimbingan dan kaunseling serta pensyarah untuk membincangkan dan bertukar pandangan mengenai isu-isu kesihatan yang dihadapi oleh golongan remaja masa kini.
Fokus utama bengkel yang diadakan adalah untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan remaja melalui pendekatan holistik dan kolaboratif.
Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para peserta mengenai cabaran kesihatan yang sering dihadapi oleh remaja serta mencari penyelesaian yang berkesan.


Pelbagai isu dan topik telah dibincangkan dalam bengkel selama dua hari ini. Pakar-pakar kesihatan telah berkongsi mengenai promosi kesihatan remaja di Klinik Kesihatan dan Klinik Komuniti, pengendalian masalah kesihatan mental remaja, pengendalian masalah kesihatan seksual dan reproduktif remaja (SRH), pembetukan gaya cara hidup dan pengantunan dan perwatakan mangsa, kes malnutrisi dan penggunaan carta WHO, reten PKMR dan reten remaja hamil.
NCDRC UPSI juga turut mengambil bahagian dalam perkongsian berkaitan Cyber Security dan Cyber Parenting yang disampaikan oleh Penyelaras Sistem Data dan IT, NCDRC, Dr. Harnani Mat Zin.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga Daerah, Klinik Kesihatan Slim River, Dr. Siti Norhani Suhaimi, program kerjasama PKD Muallim dan NCDRC UPSI ini bertujuan memperkukuhkan peranan setiap peserta yang terdiri daripada pakar perubatan, ahli akademik serta guru bimbingan dan kaunseling di sekolah untuk memperkasa kemahiran dan pengetahuan profesional berkaitan kesihatan remaja.

Melalui sesi perkongsian ilmu dan perbincangan, para peserta dapat mempelajari teknik dan pendekatan berkesan dalam menangani masalah kesihatan remaja.
Menurut beliau lagi bengkel ini juga sebagai salah satu inisiatif dalam menyokong strategi Dasar Kesihatan Remaja yang komprehensif yang menekankan kepada memperkukuh kerjasama yang bersepadu dalam kalangan agensi kerajaan dan bukan kerajaan melalui konsep perkongsian bijak serta tanggungjawab bersama.
“Dengan penglibatan pelbagai pihak, kita dapat membentuk satu jaringan kerjasama yang kukuh dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif untuk remaja,” tambah beliau.
Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa pula berkata, NCDRC sangat berbesar hati dengan kerjasama ini. Bengkel yang diadakan menyediakan platform untuk peserta berkongsi maklumat, pengalaman, dan amalan terbaik dalam bidang kesihatan remaja.
Pertukaran idea ini dapat membantu dalam mengenalpasti masalah dan mencari penyelesaian yang inovatif serta praktikal.
Selain itu, bengkel ini memberi peluang dalam merangka strategi dan intervensi yang berkesan bagi menangani masalah kesihatan remaja.
Ini termasuklah merancang program pendidikan kesihatan, kempen kesedaran, dan aktiviti intervensi yang sesuai dengan keperluan remaja masa kini.
“NCDRC sangat menyokong baik usaha kerjasama antara PKD Muallim dan UPSI dalam memperkukuh rangkaian perkhidmatan kesihatan untuk remaja dan berharap bengkel ini menyuntik impak positif terhadap sokongan kesihatan dan kesejahteraan remaja di daerah ini.