Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 6 Ogos- Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mohammad Fauzi Mahson hadir ke Sekolah Rendah Seri Budiman, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini bagi meraikan Majlis Penyerahan Perakuan Pendaftaran Sekolah Rendah Seri Budiman UPSI.

Beliau yang juga merupakan Alumni UPSI berkata bahawa beliau terharu dan berbangga kerana telah tertubuhnya sebuah sekolah rendah yang akan memberikan satu kenangan yang amat manis dalam sejarah perkhidmatan beliau.

“Terima kasih kepada pegawai Bahagian Pendidikan Swasta, KPM dan juga Unit Pendidikan Swasta JPN Perak yang berjaya melaksanakan tugas dengan baik memproses permohonan penubuhan dan pendaftaran Sekolah Rendah Seri Budiman yang kini telah diluluskan.

Datuk Mohammad Fauzi Mahson ketika menyampaikan ucapan.

“Penubuhan sekolah ini sudah tentunya akan memberikan peluang pendidikan pilihan kepada ibu bapa bagi kemajuan pendidikan anak-anak mereka terutamanya kepada mereka yang tinggal berhampiran dengan kampus UPSI,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, Sekolah Rendah Seri Budiman merupakan sekolah swasta yang ke-30 di negeri Perak dan yang pertama di daerah Muallim.

“Keadaan fizikal dan infrastruktur UPSI yang cantik dan lengkap memudahkan proses penubuhan sekolah ini,” kata beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata Sekolah Rendah Seri Budiman telah melaksanakan Kokurikulum Pendidikan 2027 sejak penubuhan sekolah ini melalui penerapan adab, pengetahuan, celik digital dan kemahiran kehidupan.

Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff semasa menyampaikan ucapan

“Sewaktu penubuhan sekolah ini saya telah menyatakan bahawa kita mesti berkiblatkan KPM, mempelajari segala kurikulum yang ada dan kita adunkan dalam kaedah pengajaran yang kita laksanakan supaya dalam membantu KPM dan negara dalam melahirkan kaedah-kaedah pendidikan yang terkini.

“Murid-murid di Sekolah Rendah Seri Budiman juga turut didedahkan dengan 4 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Mandarin.

“Melalui perakuan pendaftaran ini, Sekolah Rendah Seri Budiman kini mempunyai landasan yang kukuh untuk terus melangkah ke hadapan dan mencapai kejayaan yang lebih gemilang”, katanya.

Sekolah Rendah Seri Budiman UPSI yang kini sudah beroperasi selama 4 bulan, mempunyai 28 orang murid dan mempunyai 3 orang guru, 2 orang pembantu guru serta mempunyai 2 orang pentadbir dalam pengurusan

Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff menerima sijil Penyerahan Perakuan Pendaftaran sekolah daripada Datuk Mohammad Fauzi Mahson

Turut hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Dr. Suriani Abu Bakar; Pendaftar UPSI, En Helmi Zaifura Abdul Rahman; Pengurus Besar, UPSI Holdings Sdn Bhd, En. Mohd Effendy Datuk Mohamad Zailani; Pengarah, Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidikan @ COE Sekolah Rendah Seri Budiman, Dr. Kama Shaffeei.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)