Oleh: Intan Farahana Abdul Rani (Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri & Komuniti)
Johor Bahru, 5 Ogos 2024 – Projek penerbitan baharu yang melibatkan National Child Development Research Centre (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) mendapat sokongan penuh daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan dan DBP Kuala Lumpur.
Pertemuan yang berlangsung pada hari ini dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan pelaksanaan projek tersebut.
Mesyuarat yang diadakan pada pukul 10.30 pagi ini merupakan rentetan daripada jemputan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, yang bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara agensi-agensi terlibat dalam usaha memperkasa literasi kanak-kanak melalui penerbitan berkualiti.
Projek ini dijangka akan memfokuskan kepada penerbitan bahan bacaan dan aktiviti yang mesra kanak-kanak, sekaligus menyokong pembangunan pembelajaran awal kanak-kanak di negari ini khususnya bagi anak-anak di Jauhar Childcare Centre (JCC).
Pertemuan ini juga memberikan peluang kepada DBP Wilayah Selatan dan DBP Kuala Lumpur untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang penerbitan serta pengurusan kandungan literasi.
Kerjasama ini diharap dapat menghasilkan penerbitan yang tidak hanya menarik minat kanak-kanak tetapi juga memberikan impak positif dalam pembangunan intelektual mereka.
Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan YPKDT dalam memperkukuhkan institusi keluarga melalui pelbagai inisiatif yang holistik dan inklusif khususnya bagi anak-anak JCC mengikut acuang bangsa Johor melalui program Keluarga Sakinah dan Keluarga Sejahtera.
Dengan sokongan daripada NCDRC dan DBP, projek ini dijangka akan menjadi satu pencapaian penting dalam sejarah pembangunan literasi kanak-kanak di Malaysia.
Turut hadir dalam pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Puan Noor Faezah Md Esa ini adalah Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi), NCDRC, Prof Madya Dr. Norazilawati Abdullah; Penyelaras (Penerbitan dan Jaringan Industri dan Komuniti), NCDRC, Dr. Intan Farahana Abdul Rani; Puan Noriyani Yusoff dari DBP Kuala Lumpur, pegawai-pegawai kanan daripada YPKDT dan DBP Wilayah Selatan yang kesemuanya komited untuk memastikan kejayaan projek ini.
Kerjasama ini merupakan satu langkah strategik yang diambil oleh NCDRC dan YPKDT untuk memastikan generasi muda khususnya golongan kanak-kanak Malaysia dibekalkan dengan bahan bacaan yang mampu merangsang minda dan meningkatkan tahap literasi mereka.
Diharapkan dengan usaha ini, ia dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada komuniti dan negara, khususnya negeri Johor Darul Ta’zim.