Oleh: Jamilah Mohd Basir
KUALA LUMPUR, 18 Mei — Inovasi berimpak tinggi dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak, MyNUTRISIGHT: Child Nutritional Intelligence and Intervention Monitoring System, berjaya mengharumkan nama negara khususnya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila meraih Pingat Emas dalam pertandingan berprestij International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan penyelidik tempatan dalam memperkasa pendigitalan pendidikan dan kesejahteraan awal kanak-kanak melalui pembangunan sistem pemantauan nutrisi yang lebih sistematik, efisien dan berimpak tinggi.
Projek inovasi MyNUTRISIGHT diketuai oleh kumpulan penyelidik yang diterajui oleh Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa bersama Dr. Harnani Mat Zin, Dr. Intan Farahana Abdul Rani, Eimiza Faisha binti Azmi, Nurul Salini Mohamed Salleh dan Sandra anak Dato. Pasukan penyelidik ini tampil dengan pendekatan inovatif bagi membantu institusi TASKA melaksanakan pemantauan pertumbuhan dan status pemakanan kanak-kanak secara digital serta berpusat.
MyNUTRISIGHT dibangunkan sebagai sistem pintar yang membolehkan data antropometri seperti berat badan dan ketinggian direkodkan secara digital sebelum dianalisis secara automatik untuk mengenal pasti status nutrisi kanak-kanak termasuk risiko malnutrisi. Sistem ini bukan sahaja memudahkan proses dokumentasi, malah membantu pengesanan awal masalah pemakanan dalam kalangan kanak-kanak.
Lebih signifikan, sistem ini turut menyokong pemantauan intervensi oleh Pegawai Sains Pemakanan melalui pemantauan berterusan dan pelaporan perkembangan nutrisi sehingga kanak-kanak menunjukkan peningkatan status kesihatan dan tumbesaran.
Menurut pasukan penyelidik, pembangunan sistem ini selari dengan keperluan semasa yang menuntut penggunaan teknologi digital dalam pengurusan data perkembangan kanak-kanak secara lebih efektif dan tersusun. Pendekatan ini diyakini mampu membantu TASKA, ibu bapa dan pihak berkaitan membuat intervensi awal secara lebih tepat dan berfokus.
Inovasi MyNUTRISIGHT turut menerima maklum balas positif daripada Pegawai Sains Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melihat potensi besar sistem ini untuk diperluaskan penggunaannya dalam memperkukuh pemantauan nutrisi kanak-kanak di peringkat TASKA pada masa hadapan.


Penganugerahan Pingat Emas di ITEX 2026 ini sekali gus menjadi pengiktirafan terhadap keupayaan penyelidik tempatan menghasilkan inovasi yang bukan sahaja relevan dengan keperluan semasa, malah mampu memberi impak besar kepada kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak di Malaysia.
Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak pembangunan inovasi berteraskan teknologi dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan kesihatan komuniti demi melahirkan generasi masa depan yang lebih sihat, cerdas dan sejahtera.

