Para peserta bergambar bersama penceramah, Dr. Nor Siti Rokiah Abdul RazakPara peserta bergambar bersama penceramah, Dr. Nor Siti Rokiah Abdul Razak

Oleh: Shahaniza Shamsuddin

Tanjong Malim, 25 April – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Seminar Pengurusan Kanak-kanak Berkeperluan Khas yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Jauhar, NCDRC, UPSI, Proton City.

Seminar yang menghimpunkan seramai 40 orang peserta ini melibatkan pelbagai lapisan komuniti termasuk pendidik, ibu bapa, pelajar serta pengusaha TASKA dan TADIKA. Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran serta memperkasa pengetahuan berkaitan pendidikan inklusif dalam kalangan masyarakat.

Peserta tekun mengikuti sesi perkongsian daripada Dr. Hasrul Hosshan
Sesi ceramah oleh Dr. Siti Wan Aminah Wan Norudin

Sepanjang seminar, para peserta didedahkan dengan pendekatan pengurusan kanak-kanak berkeperluan khas yang lebih praktikal, berempati dan menitikberatkan keperluan individu. Perkongsian daripada barisan penceramah berpengalaman yang terdiri daripada Dr. Hasrul Hosshan, Pengarah Pusat Kajian Inklusif Bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE), UPSI, Dr. Nor Siti Rokiah Abdul Razak dan Dr. Siti Wan Aminah Wan Norudin Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI berjaya membuka perspektif baharu kepada peserta mengenai potensi sebenar kanak-kanak berkeperluan khas.

Program ini turut memberi penekanan kepada kepentingan bimbingan berterusan dan sokongan komuniti dalam memastikan perkembangan holistik kanak-kanak dapat dicapai. Suasana interaktif sepanjang sesi perkongsian menjadikan seminar ini lebih menarik serta memberi impak mendalam kepada peserta.

Sesi aktiviti interaktif oleh Dr. Nor Siti Rokiah Abdul Razak menarik minat peserta untuk lebih memahami kanak-kanak berkeperluan khas
Sesi aktiviti interaktif oleh Dr. Nor Siti Rokiah Abdul Razak menarik minat peserta untuk lebih memahami kanak-kanak berkeperluan khas

Salah seorang peserta, Noraida Othman berkata, seminar ini memberikan pendedahan yang sangat bermanfaat dan membuka minda beliau sebagai pendidik di TASKA dan TADIKA dalam memahami keperluan sebenar kanak-kanak berkeperluan khas. “Program seperti ini sangat membantu kerana bukan sahaja memberi ilmu, malah meningkatkan keyakinan kami untuk mengurus dan membimbing anak-anak dengan lebih baik,” katanya.

Secara keseluruhannya, seminar ini bukan sahaja berjaya menyampaikan ilmu, malah menjadi platform penting dalam menghubungkan pelbagai pihak bagi memperkukuh kefahaman dan amalan terbaik dalam pengurusan kanak-kanak berkeperluan khas.