Oleh: Intan Farahana Abdul Rani (Penyelaras Penerbitan, Jaringan Industri & Komuniti)

Tanjong Malim, 14 Ogos 2024 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai Johan peringkat UPSI dan Daerah Muallim 2024 dalam Pertandingan Bilik Penyusuan Susu Ibu sempena Karnival Keluarga Sejahtera Merdeka.

Pada tahun ini, NCDRC menghantar penyertaan dari TASKA TADIKA NCDRC Blok D kerana TASKA TADIKA NCDRC Kompleks telah menerima anugerah Fasiliti Mesra Penyusuan Susu Ibu mewakili daerah Muallim pada tahun lepas.

Pertandingan ini merupakan salah satu acara utama yang diadakan bersempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat Daerah Muallim, yang berlangsung pada 14 Ogos 2024 di Auditorium Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Kejayaan ini adalah pengiktirafan kepada usaha gigih NCDRC dalam menyediakan persekitaran mesra ibu menyusu, yang bukan sahaja memenuhi standard kebangsaan tetapi juga melebihi jangkaan dari segi keselesaan dan kemudahan.

Ini juga mencerminkan komitmen NCDRC dalam menyokong dan mempromosikan amalan penyusuan susu ibu yang berkesan dalam kalangan komuniti.

Karnival Keluarga Sejahtera Merdeka, yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Muallim dengan kerjasama Pusat Kesihatan Universiti, PEWARIS, NCDRC, dan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI, berlangsung dengan tema ‘Rapatkan Jurang: Sokong Susu Ibu Sepenuhnya’.

Acara ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyusuan susu ibu, serta mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan keluarga.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang karnival ini, termasuk senaman aerobik, persembahan teater muzikal ‘Nutrisi Cinta Ibu’, talkshow penyusuan susu ibu, dan pertandingan Fashion Show Kanak-Kanak yang juga diserta oleh anak-anak TADIKA enam tahun.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai permainan Kahoot berkenaan penyusuan susu ibu dan kemerdekaan, menyaksikan pameran kesihatan, dan menikmati pelbagai booth jualan.

Acara ini dimeriahkan lagi dengan tema pakaian sukan berwarna merah jambu dan ungu, yang melambangkan kasih sayang dan sokongan terhadap penyusuan susu ibu.

Karnival ini juga menawarkan cabutan bertuah yang menarik untuk para peserta.

Dengan kejayaan ini, NCDRC terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyokong ibu menyusu dan memastikan persekitaran yang kondusif untuk perkembangan kanak-kanak di negara ini.

Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak institusi untuk turut serta dalam usaha mempromosikan amalan penyusuan susu ibu di Malaysia.