Oleh: Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain

“Persidangan Kebangsaan Eksplorasi Pendidikan (PKEP) yang akan berlangsung pada 8 Oktober 2024 sehingga 10 Oktober 2024 di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, Perak bukan sahaja medan untuk pembentangan kepada pelajar pasca siswazah tetapi turut memberi ruang penerbitan dalam jurnal terbitan UPSI (https://ejournal.upsi.edu.my) dan prosiding dengan e-ISSN” kata Dr Nordiana Hamzah, Pengarah Pejabat Karang Mengarang (PKM).

Dr Nordiana ketika mempengerusikan Mesyuarat Pemantapan Jurnal Ke Arah MyCite yang dihadiri Timbalan-Timbalan Dekan (Akademik) fakulti berkata setakat ini sasaran KPI 400 bilangan penerbitan dalam MyCite pada 2024 masih belum dicapai dan masih memerlukan 273 lagi penerbitan.

“Sehubungan itu, saya menyeru para penyelia pelajar pasca siswazah fakulti untuk mengajak pelajar mereka menyertai PKEP dengan sasaran minimum 5 orang pembentang setiap fakulti dengan menggunakan peruntukan IPS Fakulti iaitu RM1,000 pelajar sarjana dan RM2,000 pelajar PhD” tambah beliau.

PKEP merupakan wacana perkongsian ilmu hasil penemuan terkini dengan panggilan kertas kerja berkaitan topik seperti trend terkini dalam pendidikan, reka bentuk kurikulum pendidikan, pendidikan berasaskan teknologi, inovasi dalam pendidikan, revolusi teknologi pendidikan dalam pembentukan kesejahteraan masyarakat dan etika dalam pendidikan berasaskan kecerdasan buatan.

Sementara itu, menurut Timbalan Pengerusi Persidangan I PKEP dan pakar dalam Pendidikan Multimedia dan Rekabentuk Pembangunan Permainan, Dr Laili Farhana Md Ibharim berkata UPSI mempunyai 19 jurnal berstatus MyCite dan 1 jurnal scopus.

“Pelajar pasca siswazah yang memerlukan syarat penerbitan dalam pengajian mereka perlu mengambil peluang ini untuk menyertai PKEP” tambahnya.

Menurut Dr Laili, PKEP bakal mengembangkan ilmu pengetahuan hasil kajian dan penemuan melalui wacana merangkumi pelajar pasca siswazah, ahli akademik, penyelidik, pengamal pendidikan dan industri dalam bidang pendidikan selain membincangkan dan mencari penyelesaian bagi cabaran kelestarian dalam pengintegrasian teknologi kecerdasan buatan di institusi pendidikan.

Pelajar pasca siswazah yang berminat untuk menyertai PKEP boleh menghubungi Dr Laili Farhana (017-5540815) atau Nor Azura Mustafa Bakri (019-8777973). Peserta juga boleh melayari laman web https://pkep.upsi.edu.my/ atau menghubungi Seksyen Penerbitan Jurnal, Pejabat Karang Mengarang, UPSI di talian 05-4505437 atau emel kepada me.ejournal@upsi.edu.my.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)