Oleh Arissa Hasya Auni

TANJUNG MALIM, 28 Ogos 2024- Pejabat Karang Mengarang (PKM) sebagai hos program Rabu@Qalbu Portfolio Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (P&I) menganjurkan Sesi Pengkongsian Ilmu “Kurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat di Malaysia” bertempat di Dewan Jauhar, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) dengan penglibatan seramai 35 orang peserta.

Timbalan Pengarah (Penarafan dan Antarabangsa) yang mewakili Pengarah PKM, Dr Laili Farhana Md Ibharim berkata sesi perkongsian ilmu disampaikan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, PKM Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain iaitu seorang yang tepat untuk berkongsi pengalaman kerana telah menerima lima kurniaan darjah kebesaran. 

Tokoh Pekerja Negara 2019, Ahmad Janatul Firdaus dalam ucapan awalnya memaklumkan bahawa Timbalan Naib Canselor (P&I) sepatutnya hadir ke majlis ini tetapi perlu ke Ipoh, Perak bagi mewakili Naib Canselor.

“Sesi perkongsian ini susulan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penerbitan UPSI yang meminta satu sesi perkongsian ilmu berkaitan kurniaan darjah kebesaran dan pingat disampaikan oleh saya” tambah Ahmad.

Dalam sesi ini, beliau berkongsi mengenai Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (Panduan Pelaksanaan Pemberian Bentuk Pengiktirafan Pegawai Perkhdimatan Awam) 2022 yang menjelaskan berkaitan penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) diberi peluang dan keutamaan dalam pencalonan Darjah Kebesaran, Bintang Persekutuan atau Negeri.

Beliau turut berkongsi maklumat darjah kebesaran dan pingat setiap negeri termasuk Persekutuan bagi memberi panduan kepada setiap peserta dalam melihat peluang untuk dikurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat. Ini termasuk kemudahan yang diperoleh seperti bayaran pakaian menghadiri upacara rasmi, tuntutan perjalanan seperti bertugas rasmi, penggunaan gelaran pada nama, panduan kekananan darjah kebesaran/pingat, protokol persekutuan dan Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah (Akta 787).

Beliau juga berkongsi senarai penerima darjah kebesaran dan pingat yang diterima staf UPSI bagi menyuntik semangat kepada para peserta. Menurut Ahmad, jika ramai warga UPSI menerima darjah kebesaran dan pingat, ia akan meningkatkan lagi visibility Universiti.

“Seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak contohnya, penganugerahan dan kurniaan diraja itu di bawah kuasa Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan yang mempunyai milik “Pancuran Kemuliaan” (Fountain of Honours) dan ia merupakan kuasa asal raja pemerintah serta mempunyai budibicara (prerogatives) yang mutlak,” katanya.

Rusyaidi (kiri) dan Farah Husna (kanan) menerima hadiah kuiz

Majlis diakhiri dengan sesi menjawab kuiz bagi menguji kefahaman para peserta. Lima orang peserta iaitu Dr Laili Farhana Md Ibharim, Mohamad Rosni Rosli, Khalid Chew Edey Ridzuan Chew dan dua orang pelajar latihan industri, Farah Husna Mohd Radzi dan Rusyaidi Marzuki berjaya menjawab soalan kuiz tersebut seterusnya membawa pulang hadiah yang disediakan.