Oleh: Mohamad Syamil bin Mohd Salleh
Batu Pahat, Johor, 14 September 2024 – Majlis Anak Johor (M@JOR) Universiti Pendidikan Sultan Idris bersama-sama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Banang telah melaksanakan Program Gotong Royong yang memfokuskan kepada dua kawasan utama iaitu perkarangan Pusat Komuniti Taman Bukit Flora dan Masjid Banang Jaya.
Program yang bermula sekitar jam 8.00 pagi tertumpu kepada aktiviti penanaman semula pokok, pembersihan kawasan dan pemasangan papan tanda. Lebih kurang 50 orang penduduk di sekitar Taman Bukit Flora turut hadir bagi membantu menjayakan aktiviti gotong-royong ini.
Menurut Encik Adam, Ketua Kampung Banang, ‘Program seumpana ini amatlah penting bagi mengeratkan ukhuwah dan ia merupakan inisiatif terbaik untuk mengumpulkan penduduk setempat. Semua penduduk memainkan peranan yang penting dalam menjaga kelestarian dan keindahan kampung agar ia dapat menjadi contoh yang terbaik kepada komuniti luar”.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk M@JOR UPSI kerana sudi bekerjasama dengan Kampung Banang sekali lagi selepas kali terakhir pada program Jauhar Ramadan pada bulan April yang lalu,” ujar beliau dalam program ini.
Program ini turut menyediakan perkhidmatan kesihatan secara percuma kepada penduduk dan terdapat juga pameran dari Kolej Komuniti Batu Pahat. Pertandingan mewarna dan azan juga turut dianjurkan dengan mensasarkan golongan kanak-kanak yang terdiri daripada ahli kariah masjid dan ia mendapat sambutan yang sangat mengalakkan.
“M@JOR UPSI sentiasa komited dengan program yang berbentuk khidmat masyarakat kerana ia sejajar dengan peranan mahasiswa dalam menyumbangkan tenaga dan kepakaran untuk pembangunan komuniti dan medium terbaik untuk mahasiwa mempraktikkan kemahiran insaniah yang telah dipelajari di universiti,”Jelas ‘Aina Najihah peserta program ini.
Pelaksanaan program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang agar mahasiswa sentiasa mempunyai peluang untuk menyumbang bakti kepada komuniti dan golongan sasaran mendapat manfaat yang sewajarnya.