Oleh: Arissa Hasya Auni
Tanjong Malim, 16 September 2024 – Setiausaha Pejabat, Jabatan Bendahari, Nurul Nabilah Zulkefli atau Bella berjaya memecahkan rekod Kejohanan Boling Amatur UPSI dengan mencipta rekod baharu, 234 jatuhan pin seterusnya memadam rekod yang dicatat pada tahun 2010.
Sepanjang 14 tahun ini, rekod kejohanan berjaya dipertahankan oleh Dr Nuzsep Almigo dengan 225 jatuhan pin. Rekod ini dicatatkan dalam Pertandingan Boling Fakutli Sains Sukan (FSS) – Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) sempena Pertandingan Tenpin Boling Trio Campuran Piala Pendaftar yang berlangsung di KL Megalanes, Endah Parade, Seri Petaling pada 9 Januari 2010.

Nurul Nabilah berjaya dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan/Jaguh Kejohanan dengan 487 jatuhan pin. Beliau juga berjaya membawa pasukan Santai Jerr menjadi Juara Pasukan Pertandingan Tenpin Boling Trio Famili Pejabat Karang Mengarang (PKM) – Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) (FIESTA 2024) (Kejohanan Boling Amatur UPSI Siri Ke-64) yang berlangsung di UPSI Sports Bowl pada 16 September 2024. Pasukan Santai Jerr terdiri daripada Amirul Asyraaf Zulkefli (Amir) dan Muhammad Arman Al-Hadi Aiman Syafiq (Arman) yang berumur 9 tahun berjaya mencatatkan 1,172 jatuhan pin.

FIESTA 2024 ini meneruskan kelangsungan penganjuran Pertandingan Tenpin Boling LESTARI Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) (LESTARI 2023) yang diadakan pada tahun lepas ketika cuti Maulidur Rasul pada tanggal 28 September 2023.
”FIESTA 2024 ini meneruskan tradisi penganjuran pada hari cuti iaitu ketika cuti Maulidur Rasul dan Hari Malaysia. Pertandingan yang sudah setahun tidak diadakan itu dianjurkan bersempena pembukaan UPSI Sports Bowl pada 14 September 2024 lalu. Penganjuran ini juga memberi ruang kepada pasukan LESTARI 2023 untuk ”reunion” dan bermain semula menonjolkan kekuatan mereka selepas setahun. Pertandingan ini meneruskan jemputan kepada bekas AJK Kelab DIVA BHEA dan jemputan baharu kepada staf PKM” kata Ahmad Janatul Firdaus, pengasas Kejohanan Boling Amatur UPSI yang mula menganjurkan program boling sejak 2002.
”Pihak penganjur mengambil peluang harga promosi UPSI Sports Bowl bermula 14 September 2024 hingga 21 September 2024 dengan penganjuran pertandingan melalui pendekatan walk in, iaitu peserta hanya perlu membayar harga promosi sahaja dan bermain 3 games” tambah Ahmad. FIESTA 2024 ini dianjurkan secara impromptu kerana hebahan pembukaan pusat boling hanya diumumkan pada hari Khamis, 12 September 2024. Oleh yang demikian, pemberian sijil/hadiah akan dibuat kemudian.
”Perancangan penganjuran FIESTA 2024 telah dbuat sejak 30 Ogos 2024 termasuk menghantar poster kepada pihak UPSI Sports Bowl melalui nombor yang tertera di Facebook mereka bagi tujuan tempahan. Memandangkan tarikh pembukaan yang tidak pasti, semua persediaan tidak dapat dibuat pada ketika itu” kata Ahmad.
FIESTA merupakan siri Kejohanan Boling Amatur Ke-64. Sebanyak 63 siri pertandingan sejak 2002 telah berlangsung dengan siri pertandingan bermula di Pusat Penyelidkan dan Perundingan (PPP) kemudiannya Bahagian Penyelidikan dan Inovasi (BPI), Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Fakulti Sains Sukan (FSS), Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA), FSKIK dan terkini di PKM.
Dalam siri ke-64, antara alumni kejohanan ini yang bertanding termasuklah Nurul Nabilah Zulkefli (Alumni Siri Ke-33: Penganjuran 2018), Amirul Asyraaf Zulkefli (Alumni Siri Ke-34. Penganjuran 2023), Ahmad Hasif Naufal (Alumni Siri Ke-33: Penganjuran 2018) dan Ahmad ’Afif Afnan (Alumni Siri Ke-33: Penganjuran 2018).
Naib Juara Keseluruhan dimenangi oleh Mohd Riduan Sazali (Wan) dengan 451 jatuhan pin, tempat ketiga disandang oleh Ahmad Janatul Firdaus (409 jatuhan pin), tempat keempat milik Amirul Asyraaf (372 jatuhan pin) dan Ahmad Azhari Uda (AAU) menangi tempat kelima dengan 347 jatuhan pin.
Kumpulan Suka-Suki yang berdaftar mewakili PKM berjaya menjadi Naib Juara Keseluruhan dengan 1,042 jatuhan pin. Suka-Suki terdiri daripada Illyah Nazrah Jamaluddin (INJ), Ahmad Azhari Uda dan Mohd Riduan Sazali (Wan). Manakala Tempat Ketiga dimenangi oleh kumpulan Papaya yang berdaftar di bawah PKM dengan 976 jatuhan pin. Papaya terdiri daripada Ahmad Janatul Firdaus (FI), Ahmad Hasif Naufal (FAL) dan Ahmad ’Afif Afnan (FIF)

Piala Pusingan bagi Johan Pusingan Pertama diimenangi Mohd Riduan Sazali (144 jatuhan pin), Johan Pusingan Kedua kepunyaan Ahmad Janatul Firdaus (175 jatuhan pin) dan Johan Pusingan Ketiga menjadi milik Nurul Nabilah (234 jatuhan pin).
Nurul Nabilah dari kumpulan Santai Jerr yang merupakan mantan AJK Kelab DIVA berjaya dinobatkan sebagai penerima Piala Emas Kelab DIVA BHEA. Ahmad Janatul Firdaus memenangi Piala Emas PKM manakala Tiada pemenang bagi Piala Emas FSKIK. Sementara itu, tiada penerima bagi Piala Pusingan Sukan FSKIK dan juga Piala Pusingan Boling PKM kerana tiada pasukan yang bertanding terdiri daripada semua staf PTj/Fakulti. Pasukan yang bertandng kebanyakannya pasukan campuran antara staf dan keluarga/jemputan.
Sementara itu, Juara Kategori Wanita dimenangi oleh Nurul Nabilah manakala Ilyah Nazrah Jamaluddin menang Naib Juara. Manakala Mohamad Riduan Sazali mengungguli Kategori Lelaki, Naib Juara milik Ahmad Janatul Firdaus dan Amirul Asyraaf Zulkefli menduduki tempat ketiga.
Kejohanan Boling Amatur UPSI ini merupakan satu-satunya kejohanan yang masih wujud dalam kalendar penganjuran sukan boling UPSI yang memasuki penganjuran siri terkini. Ia lebih unik kerana kejohanan ini mempunyai data penganjuran dan maklumat pemenang yang disebar luas kepada umum melalui penerbitan buletin. Kejohanan ini turut berjasa mengetengahkan bakat-bakat baharu yang bukan sahaja pemain dewasa tetapi murid-murid sekolah yang diberi peluang untuk menyertai pertandingan sejak 2006. Penglibatan murid-murid sekolah ini melengkapkan makna pemain boling amatur yang jelas diasah bakat mereka sejak daripada kanak-kanak lagi.
Kejohanan Boling ini sangat istimewa kerana ia menjadi pemangkin kebangkitan pemain boling amatur yang menyertainya sesuai dengan hasrat penganjurannya untuk mengetengahkan pemain boling amatur dan bakat-bakat baharu untuk mula terlibat dalam sukan boling.

Untuk rekod, Pertandingan Boling Apresiasi Alumni Kejohanan (TASTE) yang merupkan siri ke-62 Kejohanan Boling Amatur UPSI pada 14 September 2024 melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pertandingan pertama dianjurkan di UPSI Sports Bowl. Lebih membanggakan Pengasas Kejohanan Boling Amatur UPSI, Ahmad Janatul Firdaus menjadi peserta dan pelanggan pertama bermain di UPSI Sports Bowl ketika pusat boling itu mula dibuka bermula jam 10.00 pagi, 14 September 2024.