Oleh: Dr. Nor Asiah Mohamad@Razak, Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli, Prof. Dr Ahmad Jazimin Jusoh dan Dr. Okta Nurika

Selangor, 15 September 2024 – Dalam usaha memacu kemajuan pendidikan digital dan teknologi hijau, EduGreen@UPSI terus melangkah ke hadapan setelah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mempelawa untuk melancarkan e-Sukan di Malaysia Agriculture, Horticulture, & Agrotourism (MAHA) 2024.

Acara ini, yang diadakan bersempena ulang tahun ke-100 MAHA, menyaksikan pelancaran inovasi terbaru yang bertujuan mendidik generasi muda tentang kepentingan kelestarian alam sekitar melalui gabungan teknologi dan pendidikan digital.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Laman Kids Attraction Zon 5 diserikan dengan ucapan aluan daripada Ketua Pusat Pendidikan Teknologi Hijau UPSI, Profesor Dr. Che Zalina Zulkifli.

Beliau menjelaskan bahawa Kuasa Hijau merupakan projek inovasi digital yang dibangunkan selaras dengan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Projek ini diketuai oleh beliau dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk, Perak, serta mendapat tajaan daripada WWF Malaysia. Sebanyak 10 buah sekolah dari PPD Bagan Datuk terlibat dalam projek rintis bagi inovasi ini.

Inovasi Kuasa Hijau ini dibangunkan bukan sekadar untuk mempromosikan kesedaran mengenai alam sekitar, tetapi juga sebagai satu platform untuk memperkenalkan pendekatan baru dalam pendidikan melalui Litar Pendidikan Digital (LPD).

Pendekatan ini menekankan pentingnya penggunaan teknologi digital sebagai alat pendidikan yang berkesan dan relevan, sejajar dengan Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Inovasi Kuasa Hijau terdiri daripada empat komponen utama, iaitu Nota Minda, Aktiviti 6K (amali lapangan), Latihan Pintar untuk pengujian, dan komponen e-Sukan, melalui permainan digital yang dinamakan Pejuang Kiru Harimau Malaya.

Permainan ini direka khusus untuk memenuhi keperluan pendidikan dan mencapai tahap e-Sukan komersial.

Ia memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka konsep pertanian lestari secara interaktif dan mendalam, di samping mengembangkan kemahiran pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

Apa yang menjadikan inovasi ini unik ialah kemampuannya untuk diakses melalui pelbagai peranti tanpa memerlukan muat turun tambahan.

Ini bermaksud aplikasi Kuasa Hijau boleh digunakan pada telefon pintar, tablet, dan komputer, serta menyokong sistem Android dan iOS.

Selain itu, aplikasi ini juga direka dengan ciri-ciri keselamatan siber yang kukuh dan memenuhi keperluan Pendidikan 4.0, di mana pelajar boleh belajar di mana-mana sahaja dengan menggunakan aplikasi yang interaktif dan mendalam.

Lebih menarik, permainan Pejuang Kiru Harimau Malaya direka sebagai alternatif kepada permainan e-Sukan komersial yang sering dikritik kerana mengandungi elemen negatif seperti keganasan dan ketagihan.

Inovasi Kuasa Hijau ini mencapai tahap e-Sukan komersial serta memenuhi kriteria e-Sukan pendidikan yang menyokong pembelajaran berasaskan objektif.

Dengan elemen pertandingan yang kompetitif, permainan ini menyediakan platform bagi pelajar untuk bersaing dan mengembangkan kemahiran secara dalam talian tanpa menjejaskan nilai-nilai pendidikan dan moral.

Majlis ini dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan KPKM, En. Khalid Ibrahim.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan peranan teknologi hijau dalam memupuk kesedaran generasi muda mengenai pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar.

Menurut beliau, kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri dalam menjayakan projek seperti Inovasi Kuasa Hijau ini adalah kunci dalam mengubah landskap sektor pertanian dan teknologi di Malaysia.

Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah RMIC UPSI, Prof. Dr. Ahmad Jazimin Jusoh dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat MARDI, En. Kamarul Anuar.

Turut memeriahkan acara ialah Dr. Nor Asiah Mohamad@Razak dan ahli penyelidik bersama EduGreen@UPSI, Dr. Okta Nurika. Seramai 40 murid dari SMK Khir Johari, Sg. Sumun, Bagan Datuk, Perak bersama guru-guru pengiring hadir untuk menyaksikan pelancaran ini.

Acara diakhiri dengan gimik pelancaran yang menarik serta penyampaian cenderamata kepada rakan strategik, yang menandakan permulaan rasmi program Kuasa Hijau.

Inisiatif ini diharap mampu memberi impak positif kepada pelajar dalam memahami kepentingan teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan relevan.