Oleh: Nur Syazwina Khairol
Kalumpang, 8 Julai 2024 – Jabatan Geografi dan Alam Sekitar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan satu program penting yang dinamakan Geoenviro Sustainability Community.
Program ini merupakan sebahagian daripada kursus HGF3053: Kajian Sumber Alam dan Alam Sekitar, yang bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar di kalangan pelajar dan masyarakat setempat.
Program ini telah diadakan dari jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang di Taman Tempua Bestari, Kalumpang, Selangor, dan mendapaat sambutan hangat daripada penduduk Taman Tempua Bestari.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan merangkap Penyelaras SULAM FSK, Dr. Nurzaimah Arsalal.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan peranan pelajar dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui aktiviti yang melibatkan penjagaan alam sekitar.
Beliau turut memuji usaha para pelajar yang terlibat dan menyatakan bahawa program seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi juga membina hubungan erat antara pelajar dan masyarakat tempatan.
Objektif utama program ini adalah untuk mendedahkan pelajar kepada aktiviti kolaboratif dengan komuniti setempat dalam usaha menjaga alam sekitar.
Aktiviti yang dijalankan merangkumi gotong-royong, penanaman pokok bunga, DIY kompos dan sabun, serta pameran mengenai penggunaan plastik secara lestari.
Program ini juga memberi tumpuan kepada pembelajaran praktikal seperti eksperimen penapisan air dan gubahan kreatif dan origami menggunakan bahan-bahan terpakai, yang mana semua ini bertujuan untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan amalan kitar semula.
Salah satu aktiviti utama yang menarik perhatian ialah sesi Eco-Penanaman Kreatif, di mana para pelajar dan penduduk bersama-sama terlibat dalam menanam pokok dan tumbuhan di kawasan taman perumahan.
Aktiviti ini bukan sahaja memperindah persekitaran, malah turut menyampaikan mesej bahawa menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama yang dapat dilaksanakan secara kreatif dan menyeronokkan.
Program Geoenviro Sustainability Community ini telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memupuk semangat kesedaran alam sekitar serta membina sikap tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.
Interaksi antara pelajar dan masyarakat dalam aktiviti-aktiviti ini telah memberikan pengalaman yang mendalam, memupuk hubungan erat, dan menyemai kesedaran tentang kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.
Pada masa yang sama, program ini juga telah membuktikan bahawa kerjasama antara pelajar dan masyarakat setempat mampu menghasilkan perubahan yang positif dalam menjaga alam sekitar.
Majlis penutupan program ini diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada Pengarah Program, Dr. Mohmadisa, yang merupakan pensyarah bagi kursus ini.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, khususnya ahli jawatankuasa Kesatuan Rukun Tetangga (KRT) Taman Tempua Bestari dan Persatuan Penduduk yang telah memberikan sokongan penuh sepanjang penganjuran program.
Majlis kemudian diteruskan dengan sesi fotografi sebagai kenangan atas kejayaan pelaksanaan program ini.
Secara keseluruhannya, program Geoenviro Sustainability Community telah mencapai matlamatnya dalam memberikan pendedahan yang bermakna kepada para pelajar tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan membina hubungan harmoni dengan masyarakat.
Program ini wajar diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan untuk menyemai kesedaran alam sekitar dalam diri generasi muda dan masyarakat.