Oleh: Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli, Dr. Nor Asiah Mohamad@Razak dan Dr. Okta Nurika

Seberang Perai, 13 September 2024 – EduGreen@UPSI terus komited memupuk kesedaran pemuliharaan alam sekitar melalui program Pertanian Bandar: Organik Keutamaan Kami, bertempat di Pusat Pendidikan Hijau (MBSP-UPSI-URBANEST) Padang Cempedak (PPH-PC), Seberang Perai.

Program ini dihadiri oleh Datuk Bandar MBSP, YBHG Dato’ Hj Baderul Amin, Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli selaku Ketua Pusat Pendidikan Hijau PPH PC juga Ketua EduGreen@UPSI, Pengarah Urusan Urbanest Sdn Bhd, wakil dari syarikat Akar Umbi Global, Ahli-Ahli Majlis, Pengarah Perbandaran MBSP, kakitangan MBSP, serta masyarakat setempat.

PPH PC, hasil kerjasama strategik antara MBSP, UPSI, dan Urbanest Sdn Bhd, telah menjadi pusat utama bagi aktiviti pertanian bandar dan pendidikan hijau.

Dengan kawasan seluas 1.4 ekar yang diperuntukkan oleh MBSP, dan disokong oleh Urbanest dalam menyediakan infrastruktur serta kepakaran bersama UPSI.  PPH PC telah memberi manfaat kepada komuniti dan sekolah melalui pelbagai program yang menggalakkan pertanian lestari.

Program hari ini menekankan kepentingan pertanian organik dalam menangani perubahan iklim, di samping memperkenalkan teknologi terkini dalam pertanian pintar.

PPH PC kini dilengkapi dengan sistem pertanian pintar berasaskan Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI), serta penggunaan sistem tenaga solar dan air bawah tanah.

Gabungan teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pertanian tetapi juga menyumbang kepada pengurangan jejak karbon melalui pengurusan sumber tenaga dan air yang lebih lestari.

Dengan pendekatan holistik terhadap sistem pertanian seperti fertigasi, hidroponik, penanaman batas, kompos dan penggunaan teknologi mesra alam seperti kitar semula serta biodiversti, PPH PC muncul sebagai contoh cemerlang bagi usaha pemuliharaan alam sekitar.

Sistem pintar ini turut mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional, seterusnya menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO2).

Sebagai Pusat Pendidikan Hijau, PPH PC juga menjadi rujukan antarabangsa dan telah menarik pelbagai program dari universiti luar negara seperti University of Columbia, YunTech University Taiwan, serta program-program dari Indonesia, Uzbekistan, dan Australia.

Kejayaan ini menunjukkan potensi PPH PC sebagai pemimpin dalam pertanian pintar dan usaha kelestarian yang memberi impak bukan sahaja di peringkat tempatan, malah global.

Dengan inisiatif seperti ini, PPH PC dan program EduGreen@UPSI terus berperanan penting dalam membentuk masa depan yang lebih hijau dan mampan.