Oleh: Nurul Insyirah Zubir
TANJONG MALIM, 15 Mei 2026 – Kem Rakan Millenia dan Campus Election Organization 2026 telah berlangsung dengan jayanya selama 4 hari 3 malam bermula 11 hingga 14 Mei 2026 bertempat di Teratak River View, Tanjung Malim, Perak dengan penyertaan lebih 200 mahasiswa.
Program ini dianjurkan sebagai platform dalam membentuk mahasiswa yang berdaya kepimpinan, berketerampilan serta mampu bekerjasama secara efektif dalam sesebuah organisasi. Pelbagai pengisian menarik dan aktiviti berkumpulan telah dijalankan sepanjang program bagi memupuk semangat kebersamaan, komunikasi dan keyakinan diri dalam kalangan peserta.



Hari pertama dimulakan dengan sesi ice breaking bersama fasilitator dan para peserta bagi mewujudkan suasana yang lebih mesra serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Pada sebelah malam pula, peserta telah mengikuti satu sesi khas bersama Encik Azrul Hifni atau lebih dikenali sebagai “Encik Busu” daripada Unit Bahagian Khidmat Korporat dan Pengurusan Acara Bahagian Komunikasi Korporat yang berkongsi pelbagai pengalaman serta pendedahan berkaitan pengurusan acara dan kepimpinan organisasi.
Memasuki hari kedua, para peserta telah dibahagikan kepada kira-kira 10 kumpulan bagi melaksanakan tugasan yang telah ditetapkan oleh fasilitator. Seawal pagi, peserta menjalani aktiviti di kawasan sungai sebelum meneruskan pelbagai tugasan berkumpulan yang mencabar kreativiti serta kerjasama setiap ahli. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah mencipta cheers kumpulan, penghasilan video kreatif serta menyelesaikan tugasan di setiap checkpoint yang telah disediakan. Aktiviti ini bukan sahaja menguji daya kepemimpinan dan komunikasi peserta, malah berjaya membina semangat kerja berpasukan yang lebih kukuh.



Selain itu, sesi temubual bersama beberapa peserta turut dijalankan sepanjang program bagi mendapatkan pandangan dan pengalaman mereka sepanjang menyertai kem ini. Rata-rata peserta menyifatkan program tersebut sebagai satu platform terbaik dalam membina keyakinan diri, mengasah bakat kepemimpinan serta membuka peluang untuk mengenali dan bekerjasama dengan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang.
Hari ketiga yang juga merupakan hari terakhir program menyaksikan semua peserta dipecahkan mengikut unit Rakan Millenia bagi sidang 2026/2027 berdasarkan pembahagian unit masing-masing. Pada hari tersebut, peserta diminta dan diberikan tugasan berkaitan gerak kerja sebelum, semasa dan selepas program mengikut skop unit yang telah ditetapkan. Pengisian ini memberi pendedahan awal kepada peserta tentang tanggungjawab serta peranan sebenar dalam pengurusan organisasi. Program kemudian diakhiri dengan sesi makan tengah hari bersama sebelum semua peserta berangkat pulang dengan membawa seribu satu pengalaman dan kenangan sepanjang kem berlangsung.


Setinggi tinggi penghargaan diucapkan kepada semua peserta, fasilitator dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Diharapkan segala ilmu, pengalaman dan nilai yang diperoleh sepanjang program ini dapat dimanfaatkan dalam melahirkan mahasiswa yang lebih progresif dan berkualiti pada masa akan datang.

