Oleh: Bazli Razak
Kelantan, 24 September 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan UPSI Prihatin kepada seorang pelajar yang kurang kemampuan yang berjaya menyambung pelajaran ke universiti itu.
Pelajar tersebut ialah Nurul Hazwanie Mohd Badeli, merupakan seorang anak penoreh getah dari Pasir Mas, Kelantan yang ditawarkan untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Melayu) dengan Kepujian.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata, bantuan sumbangan UPSI Prihatin berupa Bakul RAHMAH dan bantuan kewangan sebanyak RM 1000.00 bagi meringankan beban keluarga dalam usaha melanjutkan pengajian di UPSI.
“Pihak universiti juga telah menghantar wakil bagi menyalurkan bantuan tersebut menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (WEZAS).
“Pelajar ini akan mendaftar sebagai pelajar sebagai pelajar baharu pada 28 September depan, namun berdepan kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran dan membeli barangan keperluan peribadi.
“UPSI mengambil inisiatif untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mendapat peluang menyambung pelajaran,” ujar beliau.
Terdahulu, Nurul Hazwanie mendapat perhatian menerusi hantaran Pengerusi Eksekutif Yayasan, Raja Shamri di laman Facebook beliau mengenai anak bongsu dari tiga orang adik-beradik itu sukar untuk menyambung pengajian kerana keluarganya mempunyai masalah kewangan.
Nurul Hazwanie mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM 2023 dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sebanyak 3.67.