Oleh: Aira Zahiera Mohammad Zaidi (Exco Media, Persatuan Psikologi UPSI)
SHAH ALAM, 27 Oktober 2024 – Dalam usaha meringankan penderitaan penghuni di khemah pelarian di Syria dan Lubnan, sebuah kontena telah dimuatkan dengan 792 kotak pakaian musim sejuk dan 236 selimut tebal, hasil kerjasama antara Persatuan Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Syria Care, badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia serta sukarelawan-sukarelawan. Projek kemanusiaan ‘Blanket for Life, Warm Their Winter’ ini mendapat sambutan yang positif daripada rakyat Malaysia yang serta menghantar pakaian musim sejuk di pusat pengumpulan yang terpilih.
UPSI turut dijadikan sebagai salah satu hub pusat pengumpulan pakaian musim sejuk terpakai untuk komuniti di sekitar negeri Perak. Pakaian yang dikumpulkan di Hub UPSI ini dihantar ke Dewan Melati, Shah Alam untuk langkah selanjutnya. Selama empat hari bermula 24 hingga 27 Oktober, para sukarelawan bertungkus-lumus mengurus pakaian-pakaian yang dikumpulkan. Pemilihan, pengasingan, pembungkusan, dan penyusunan kotak-kotak pakaian ke dalam kontena ini telah memberikan pandangan mendalam kepada para peserta yang hadir mengenai cabaran yang dihadapi oleh pelarian di Syria dan Lubnan. Dengan musim sejuk yang melampau, usaha ini adalah penting dalam memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan.
Menurut Penasihat Persatuan Psikologi UPSI, Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin program kemanusiaan seumpama ini diharapkan dapat menerapkan nilai-nilai murni dikalangan mahasiswa dan mahasiswi disamping memupuk semangat kesukarelawanan. Dianggarkan hampir 7 hingga 8 juta rakyat Syria dan Lubnan yang merupakan pelarian di dalam negara mereka sendiri tidak mempunyai tempat berteduh untuk menghadapi musim sejuk yang akan tiba. Musim sejuk di Syria dianggap sebagai mimpi ngeri kerana ia berpotensi meragut nyawa. Oleh itu, Projek Blanket for Life, Warm Their Winter merupakan satu inisiatif tahunan yang sangat bermakna untuk memastikan para pelarian menerima kelengkapan pakaian yang sesuai sebagai persediaan untuk mengharungi musim sejuk.
Program ini memberikan iktibar yang mendalam kepada masyarakat untuk sentiasa mensyukuri nikmat kehidupan. Selain itu, sebagai insan, kita perlu menunjukkan ketabahan dalam menghadapi segala ujian yang datang. Hal ini sangat penting kerana setiap ujian merupakan batu loncatan yang perlu dihadapi bagi mencapai kejayaan di masa hadapan. Oleh itu, mari kita bersama-sama meringankan beban mereka yang sedang berjuang di Syria dan Lubnan.