Aniq Aiman Hakimi Dubi & Nur Umairah Nur Muazam
Tanjong Malim, 10 November– Candra Kirana merupakan satu istilah dalam Bahasa Jawa yang membawa maksud “Cahaya bulan yang indah.” Istilah ini sering digunakan dalam konteks kesenian dan kebudayaan, terutamanya dalam pertunjukan yang melibatkan elemen tari dan seni pertunjukan tradisional.
Elemen kebudayaan merupakan salah satu elemen penting yang harus dipupuk dalam masyarakat pada zaman kini. Hal ini dikatakan kerana dapat memberi kefahaman yang jelas tentang siapa mereka dan dari mana asal mereka. Melalui tradisi, bahasa dan cerita, mereka dapat mencipta identiti serta rasa bangga tentang warisan yang diamalkan oleh nenek moyang dan tradisi dengan mengekalkan asal usul kesenian warisan dan budaya mereka. Dengan memahami dan menghargai elemen kebudayaan, generasi muda dapat menjadi individu yang lebih baik, mampu berkontribusi positif pada masyarakat dan mengekalkan warisan budaya untuk generasi mendatang.
Oleh itu, bagi menyokong usaha dalam memupuk rasa cinta akan seni dan budaya, Exco Kesenian dan Kebudayaan Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DPAKK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2024/2025 telah menganjurkan Program Candra Kirana iaitu pertandingan Peragaan Busana dan Cilikrobik yang dapat memupuk dan memberi peluang kepada cilik muda dalam mencungkil dan menyerlahkan bakat dalam kesenian dan kebudayaan. Selain itu, program yang mendapat penajaan bersama Restoran Takbai ini juga dapat membina keyakinan para cilik muda dalam menonjolkan bakat dan kemahiran yang dipelajari di hadapan khalayak ramai serta mampu untuk persembahkan dengan lebih berani.
Program berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 1 (DKP), Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI ini menarik minat ramai penonton dari kalangan mahasiswa/i yang hadir bagi menyaksikan pertandingan daripada 9 peserta individu dalam peragaan busana dan 3 kumpulan dalam pertandingan cilikrobik sama-sama berentap untuk menjadi Johan bagi pertandingan yang dipertandingkan. Penyertaan cilik muda dalam acara yang dipertandingkan ini adalah murid daripada Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki, Sekolah Kebangsaan Proton City dan juga Prasekolah SK Slim Village serta beberapa lagi. Selain itu, pada ibu bapa juga turut sama hadir bersama anak-anak dalam memberi sokongan padu kepada peserta yang bertanding.
Selaku Pengarah Program, Nurazrien Sa-ee mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) pelaksana atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini dengan baik. Tidak lupa juga penasihat persatuan iaitu Puan Norrulkamari Daud yang banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar dalam aspek merancang, mengurus, mengelola dan menjayakan program ini di peringkat universiti.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TDHEPA), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan selaku melalui ucapan perasmian beliau, program ini adalah salah satu inisiatif untuk mewujudkan hubungan baik sesama kaum melalui pengenalan budaya. Tambahan beliau, melalui program ini juga dapat mendedahkan pengetahuan kepada cilik muda tentang tradisi dan warisan budaya tradisional di Malaysia. Pada masa yang sama dapat menyediakan ruang dan peluang kepada cilik muda dalam mencungkil dan mengembangkan bakat melalui pertandingan peragaan busana dan cilikrobik.
Program ini berakhir dengan penyampaian hadiah oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim kepada semua pemenang bagi kedua-dua acara yang dipertandingkan. Acara Peragaan Busana dimenangi oleh Muhammad Erhan Mehmet Mohd Elmi daripada SK Proton City manakala acara Cilikrobik dimenangi oleh kumpulan FANTASTIC KIDS daripada SK Aminuddin Baki. Tempat pertama, kedua dan ketiga membawa pulang sijil penghargaan, trofi dan juga hamper manakala saguhati pula membawa pulang sijil dan cenderahati. Tahniah diucapkan kepada yang bertanding dan semua yang turut menjayakan program ini.
Program ini berjaya mencapai objektif yang dimatlamatkan iaitu menggalakkan perkembangan bakat dalam bidang kesenian dan kebudayaan melalui persembahan yang dipamerkan oleh cilik muda melalui acara yang diadakan. Selain itu, program kebudayaan Candra Kirana ini juga telah membuktikan bahawa usaha untuk melibatkan kanak-kanak dalam cilikrobik dan peragaan busana mampu memberi impak besar kepada perkembangan peribadi dan mengekalkan kebudayaan tradisional Malaysia. Candra Kirana bukan sahaja berjaya melahirkan generasi muda yang celik budaya, tetapi juga mengukuhkan hubungan yang baik antara masyarakat dalam memastikan seni dan budaya Malaysia terus kekal hidup dan berkembang dari satu generasi ke generasi akan datang.