Oleh: Bazli Razak

Tanjong Malim, 13 November 2024 – Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengorak langkah bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan akademia mereka dalam bidang kimia analisis melalui Majlis Syarahan Budiman hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Abdul Rahim Razalli berkata, Majlis Syarahan Budiman Profesor Chemist Dr. Azlan Kamari merupakan satu wadah perkongsian ilmu khususnya hasil-hasil kajian terkini beliau dalam bidang kimia analisis.

“Majlis syarahan ini juga menjadi medium bagi menyebarkan ilmu yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik dengan ahli-ahli akademik, pelajar dan masyarakat setempat.

“Perkongsian maklumat ini diharapkan dapat membantu pensyarah, pelajar dan masyarakat tempatan untuk mengetahui perkembangan dalam bidang kimia analisis di UPSI dan mengaplikasikan dan memanfaatkan perkembangan bidang ini dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Abdul Rahim Razalli semasa menyampaikan ucapan perasmian Majlis Syarahan Budiman ‘Inovasi daripada Biopolimer Kitosan’ Profesor Chemist Dr. Azlan Kamari bertempat di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Syarahan Budiman ‘Inovasi daripada Biopolimer Kitosan’ Profesor Chemist Dr. Azlan Kamari bertempat di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Ujar beliau, misi UPSI adalah menjana dan menatar ilmu menerusi pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat dalam konteks pembangunan insan untuk mencapai wawasan negara.

“Justeru, kecemerlangan akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan, penyeliaan dan khidmat masyarakat adalah faktor penyumbang kepada kelestarian universiti ini.

“Majlis seperti ini merupakan usaha baik ke arah perkongsian ilmu yang bagus melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran professor yang berjaya untuk diterapkan kepada staf universiti serta mahasiswa UPSI, khususnya dalam usaha memperkasakan modal insan negara,” kata beliau.

Sementara itu, Dekan, Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah berkata pelaksanaan program syarahan ini memberi suntikan semangat, motivasi dan dorongan kepada semua bagi mencapai kecemerlangan pendidikan.

Dalam pada itu, beliau turut membaca biodata Profesor Chemist Dr. Azlan Kamari.

“Beliau memulakan karier sebagai ahli akademik di UPSI bermula pada tahun 2004 hingga kini, berpengalaman memegang beberapa jawatan pentadbiran di UPSI iaitu Ketua Jabatan Kimia (2012-2013), Penyelaras Bahagian Pembangunan Akademik dan Kualiti (BPAQ) (2016-2018), Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Kualiti (BPQ) (2018-2020) dan Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) (2020 hingga kini).

Dekan, Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah semasa membaca biodata Profesor Chemist Dr. Azlan Kamari.

“Sehingga hari ini, Prof. Azlan mengetuai 13 projek penyelidikan bersama untuk 32 projek penyelidikan di peringkat luar negara antaranya Geran Penyelidikan Rising Star UPSI, Geran Penyelidikan Research Acculturation Collaborative Effort (RACE) KPT, Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) KPT dan Skim Geran Penyelidikan Inovasi MARA.

“Prof Azlan telah berjaya memfailkan perlindungan harta intelek, iaitu 3 paten dan 20 hak cipta untuk produk dan inovasi penyelidikan yang dijalankan.

“Beliau juga merupakan ahli kimia berdaftar dengan Royal Society of Chemistry (RSC) United Kingdom sejak tahun 2009 dan Institut Kimia Malaysia (IKM) sejak tahun 2014.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Abdul Rahim Razalli (6 dari kini, depan) bersama Profesor Chemist Dr. Azlan Kamari (5 dari kiri, hadapan) bergambar bersama tetamu yang hadir dalam majlis yang diadakan di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Turut hadir menyaksikan majlis ini Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof Dr. Suriani Abu Bakar; Ketua Pustakawan UPSI, Cik Noriha Muhammad.