Oleh: Aisyah Mahadi

Port Dickson, 21 Februari 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah berjaya menganjurkan Bengkel Penyelarasan Takwim dan Hala Tuju Kolej Harun Aminurrashid 2025 (NEXT’25).

Bengkel yang bertempat di Glory Beach Resort, Port Dickson pada 21 Februari  hingga 23 Februari 2025 bertujuan untuk merancang dan melaksanakan program-program berimpak tinggi bagi tahun 2025 selaras dengan visi dan misi KHAR, memberi fokus kepada pembangunan sahsiah, akademik dan kemahiran pelajar.

Bengkel ini telah dihadiri oleh 32 orang Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid bersama enam orang felo dan enam orang pentadbiran Kolej Harun Aminurrashid.

Program ini dirasmikan oleh Dr. Hj. Che Anuar Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Beliau menekankan kepentingan pelaksanaan program-program berimpak tinggi selaras dengan visi, misi dan KPI yang telah ditetapkan.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang bengkel ini termasuk sesi aktiviti berkumpulan seperti senamrobik, slot ceramah tentang peranan MMK ke arah kolej No.1.

Selain itu, agenda disusuli dengan slot penilaian program-program yang telah dianjurkan sepanjang Semester 1 dan dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Hj. Che Anuar.

Seterusnya, slot bersama felo sebagai penasihat program pada hari kedua dan majlis penutupan dijalankan pada hari terakhir bengkel dilaksanakan.

Menurut pengarah program NEXT’25, Siti Raudah Mohamad Kusairi, bengkel ini memberi peluang kepada MMKHAR untuk merancang program-program pada semester akan datang dengan lebih teratur dan berimpak selaras dengan visi dan misi Kolej Harun Aminurrashid.

Dalam ucapan pengetua menekankan tentang program yang memberi impak kepada penghuni kolej “Saya berharap melalui penilaian berdasarkan program semasa semester 1, A241, barisan MMKHAR perlu lebih bersemangat untuk mengadakan program-program yang berimpak tinggi dan merancang dengan teratur” katanya.

Secara keseluruhan, Bengkel NEXT’25 telah mencapai matlamatnya dalam merangka hala tuju dan penyelarasan program untuk Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid.

Berdasarkan penglibatan aktif peserta dan bimbingan daripada pentadbiran dan felo, bengkel ini bukan sahaja membantu dalam perancangan strategik tetapi juga meningkatkan semangat kesepaduan dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Oleh itu program yang dirancang akan berjaya untuk memajukan kolej dan menghasilkan pelajar khususnya MMK KHAR yang berdaya saing.