Oleh : Bony Anak Steven

BELAGA: Seramai 37 orang mahasiswa-mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Program Jalinan Kasih Keluarga Adelfia di Lebu’ Kulit, Sungai Asap pada21 hingga 23 Februari 2025 yang lalu.

Program ini merupakan sebuah program anjuran Persatuan Jalinan Anak Sarawak (JASA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berkonsepkan keluarga angkat.

Pertandingan Mewarna: Kategori Kanak-Kanak
Pertandingan Mewarna: Kategori Warga Emas

Yang Dipertua JASA Bony Anak Steven berkata, objektif pelaksanaan program tersebut adalah bagi mendedahkan seni, budaya dan tradisi masyarakat Kenyah yang sangat kurang didedahkan pada waktu kini.

Program ini juga merupakan sebuah usaha proaktif untuk membina jaringan hubungan antara mahasiswa-mahasiswi UPSI dan komuniti Kenyah Lebu’ Kulit.

Katanya, program ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk mendapatkan banyak pengalaman baharu di samping meningkatkan kemahiran interpersonal dan interaksi sosial antara peserta dan keluarga angkat mereka.

Persembahan Tarian Datun Julud semasa Malam Kebudayaan
Aktiviti Gotong-Royong

“Melalui program ini, pelbagai aktiviti telah dirangka dan dijalankan bersama komuniti Lebu’ Kulit untuk mencapai objektif program. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Bual Bicara Santai: Budaya Tradisi Kenyah, Gotong-Royong bersama Masyarakat Setempat, Pembuatan Seni Anyaman dan Malam Kebudayaan yang merupakan sorotan utama bagi pengisian pada hari kedua program,” ujarnya.

Sementara itu, Penasihat JASA Dr Saripah Anak Banseng pula menyatakan bahawa program ini merupakan sebuah platform yang sangat baik untuk mengangkat semula budaya masyarakat Orang Ulu khususnya kaum Kenyah.

Sesi Ramah Mesra (Podcast), Pengenalan UPSI, JASA dan Cara Hidup/Budaya Kaum Kenyah.
Sesi pengenalan kepada kuih tradisional kaum Kenyah.

Menurut beliau, usaha seperti ini sangat penting untuk memastikan warisan budaya masyarakat Orang Ulu khususnya kaum Kenyah terus dipelihara dan dihargai oleh generasi muda. Program ini bukan sahaja memperkenalkan budaya kaum Kenyah kepada masyarakat luar, tetapi juga memupuk rasa bangga dalam kalangan generasi muda terhadap warisan tradisi masyarakat di Sarawak.

Majlis Penyerahan Anak Angkat tersebut disempurnakan oleh Paren Lebu’ Bujang Bit. Manakala, Majlis Penutupan Jalinan Kasih Keluarga Adelfia ini pula telah disempurnakan oleh Penghulu Robert Injin Anye.

Hadir sama, beberapa orang wakil Sarawak Volunteers untuk menyampaikan taklimat Pengenalan dan Peranan Sarawak Volunteers kepada komuniti Lebu’ Kulit.