Sesi Penyampaian Sumbangan berupa barangan keperluan asas dan wang tunai

Oleh: Sakinah Salleh

Pokok Sena, 9 Mac 2025 – Lima puluh pelajar dari SMK Jabi menerima sumbangan Ramadan menerusi program Santunan Kasih Ramadan 2025, anjuran Pusat Ulul Albab, UPSI dengan kerjasama Yayasan Peramah. Program ini diadakan di SMK Jabi, bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan dengan menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas dan wang tunai bagi meringankan beban pelajar dalam menyambut bulan Ramadan yang mulia.

Dr. Sakinah menyampaikan ucapan dan memberi kata-kata semangat
kepada pelajar SMK Jabi

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh, yang menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf dan anak yatim. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program kebajikan seperti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Pusat Ulul Albab dalam menyokong kebajikan pelajar yang kurang berkemampuan.

“Program Santunan Kasih Ramadan 2025 ini bertujuan memberi sokongan kepada pelajar yang memerlukan, agar mereka dapat merasai keberkatan bulan Ramadan dengan lebih tenang dan fokus kepada pelajaran. Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dan memberi semangat dalam menempuh kehidupan seharian serta menjadi pemangkin kejayaan mereka di masa hadapan,” katanya.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran guru-guru serta warga sekolah SMK Jabi yang bersama-sama memeriahkan suasana. Serahan sumbangan disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab, Dr. Sakinah Salleh diiringi Pengetua SMK Jabi, Encik Salleh Hudin Long Ahmad kepada para penerima. Program ini mendapat sokongan penuh daripada Yayasan Peramah selaku penaja utama yang turut membantu menjayakan inisiatif kebajikan ini.

Program Santunan Kasih Ramadan 2025 berakhir dengan sesi bergambar bersama guru-guru SMK Jabi. Pusat Ulul Albab UPSI berharap agar lebih banyak program kebajikan seperti ini dapat dianjurkan pada masa hadapan dan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.