Sesi bergambar bersama delegasi dari University of Helsinki Finland, Universitas Djuanda dan Chempaka International School

Oleh: Dr. Intan Farahana Abdul Rani

7 Mac 2025, Tanjung Malim – Projek Inclusive Education in Co-Teaching Teams (InCo), sebuah inisiatif dua tahun yang bertujuan mempromosikan amalan pengajaran inklusif melalui kerjasama berpasukan, telah melabuhkan tirainya dengan satu majlis penutupan gilang-gemilang. Majlis ini diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Duta Besar Finland ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Anne Vasara dan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Amin Md Taff.

Objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan kebolehan para pendidik dalam melaksanakan strategi pengajaran inklusif menerusi pendekatan kolaboratif dan rentas budaya. Projek ini turut melatih para guru pelatih dan pendidik dengan kemahiran melaksanakan kaedah co-teaching (pengajaran bersama), serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang adil dan saksama.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Amin, “Kerjasama ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memacu kecemerlangan pendidikan. Dengan menghimpunkan pendidik daripada latar belakang budaya dan pendidikan yang pelbagai, kita membuka ruang kepada amalan pengajaran inovatif yang bakal memberi manfaat kepada generasi akan datang. UPSI amat menantikan kesinambungan kerjasama dengan University of Helsinki, University of Eastern Finland, dan Universitas Djuanda pada masa hadapan.”

Projek InCo yang berlangsung dari tahun 2023 hingga 2025 telah menyatukan tiga institusi antarabangsa – University of Helsinki (diketuai oleh Dr. Olli-Pekka Malinen dan Dr. Lotta Uusitalo), University of Eastern Finland (diwakili oleh Aino Äikäs dan Katariina Waltzer), serta Universitas Djuanda (UNIDA) dari Indonesia (diwakili oleh Prof. Dr. Rasmitadila).

Projek ini dilaksanakan di Cempaka International School, Kuala Lumpur, di bawah penyelarasan Pengetua Kurikulum Finland, Cik Helmi-Rikka dan Pengarah Pembangunan Kurikulum Antarabangsa, Nik Zakiah Nik Kar. Ia dibiayai oleh Finnish National Agency for Education, sekali gus memperlihatkan komitmen global terhadap pendidikan inklusif.

Dari pihak Malaysia, projek ini telah dikendalikan oleh Fakulti Pembangunan Manusia dan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), UPSI. Pusat Latihan Mengajar dan Latihan Industri (PULAMI) turut memainkan peranan penting dalam menyelaras dan mempermudah pelaksanaan projek. Ketua Perunding projek ini ialah Profesor Madya Dr. Mazlina Mustafa, dibantu oleh pasukan yang berdedikasi terdiri daripada PM Dr. Ashardi Abas, Dr. Mohd Mokhzani Ibrahim, dan Dr. Seah Siok Peh. Kepakaran mereka dalam bidang pendidikan inklusif dan latihan guru telah menjadi asas kejayaan projek ini.

Berpaksikan kepada kurikulum Finland yang telah diadaptasi di Cempaka International School sejak dua tahun lalu, projek InCo berjaya memperkasa para pendidik dan pelatih guru untuk menerima serta mengurus kepelbagaian dalam bilik darjah.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, pada 3 Mac 2025, UPSI telah menerima kunjungan delegasi dari Finland dan Indonesia untuk sesi perbincangan, aktiviti kolaboratif dan perkongsian refleksi berkenaan pencapaian projek. UPSI turut menganjurkan seminar bertajuk “Teaching in a Globalized World: Embracing Diversity and Inclusion in UPSI” yang menjadi platform kepada para pendidik untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam pengajaran berbilang budaya.

Secara keseluruhannya, projek InCo telah memberi impak mendalam kepada semua peserta, memperkukuh kompetensi rentas budaya dalam kalangan guru pelatih dan pensyarah, serta memajukan pendekatan pengajaran inklusif. Kolaborasi ini turut mengukuhkan hubungan antara University of Helsinki, University of Eastern Finland, Universitas Djuanda dan UPSI, sekali gus membuka laluan kepada kerjasama pendidikan antarabangsa pada masa hadapan.

Penamatan projek InCo pada tahun 2025 menjadi penanda aras baharu kepada kejayaan kolaborasi pendidikan global. Kejayaan program ini membuktikan bahawa apabila para pendidik daripada pelbagai latar belakang bersatu, potensi untuk berkembang dan berinovasi dalam pendidikan adalah tidak terhad.