Dari kiri Dr. Vasanthan A/L Gurusamy (Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa,FSK), Aini Oriza Ramli (Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan,Jab. Alam Sekitar Negeri Perak), Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa (Dekan FSK, UPSI) dan Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail (Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan, FSK) bagi sesi penyerahan cenderamata kepada wakil Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak.

Oleh: Zulkhuriatul Hannah Md Yusuf

IPOH, 25 Mac 2025 – Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Alam Sekitar Perak (JAS) bagi memperkukuh jalinan kerjasama dalam menjalankan aktiviti serta meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Dekan FSK, Prof. Madya Dr. Nor Kalsum Mohd Isa yang mengetuai delegasi fakulti bersama pensyarah fakulti disambut mesra oleh wakil JAS Perak, Puan Aini Oriza, serta pegawai kanan jabatan tersebut. Perbincangan tertumpu kepada kerjasama pelaksanaan program kesedaran alam sekitar dan program sangkutan pensyarah di UPSI. Selain itu, JAS turut bersetuju menjemput UPSI menjadi rakan industri dalam melaksanakan projek komuniti dan penilaian laporan kajian impak alam sekitar.

Turut hadir, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersialan (TDJIP), Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail yang menyelaras kunjungan hormat dan membuka jalinan kerjasama antara universiti dan industri. Beliau menyatakan bahawa FSK telah berjaya melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang berkaitan dengan kelestarian alam dan berharap program-program ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat serta sektor industri. Selain itu, aktiviti seumpama ini dapat membina hubungan strategik dengan pelbagai pihak dalam merealisasikan dasar universiti, sekaligus menonjolkan bahawa UPSI bukan sekadar melahirkan tenaga pengajar, tetapi juga pakar dalam pelbagai bidang profesional.

Menurut Prof. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, peluang kerjasama ini turut membuka ruang lebih luas kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan sebenar tentang aktiviti di JAS serta memahami dasar-dasar berkaitan alam sekitar. Sementara itu, wakil JAS Perak Puan Aini Oriza menegaskan bahawa penglibatan institusi pengajian tinggi sangat dialu-alukan dalam mendukung agenda kelestarian negara.

Kunjungan ini turut disertai taklimat mengenai inisiatif hijau di JAS seperti pemantauan kualiti alam sekitar, pengurusan sisa dan dasar pemeliharaan alam sekitar. Kedua-dua pihak juga bersetuju menjalankan pelbagai aktiviti bersama bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar serta melibatkan pelajar dan komuniti dalam program-program yang dianjurkan.

FSK dan JAS Perak komited untuk terus memperkukuh kerjasama dalam melaksanakan program-program berkaitan kesedaran alam sekitar bagi memastikan pembangunan lestari dan kesejahteraan masyarakat dapat dicapai dengan lebih berkesan.