Sesi fotografi alumni AKSB bersama Pengarah Pusat Alumni di Semporna, Sabah

Tawau, 22 Februari 2025 – Dalam usaha mengeratkan hubungan antara Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan alumni yang berada jauh di kepulauan Borneo, program Kembara Santuni Alumni Anak Kandung Suluh Budiman 2025 telah berjaya dianjurkan di dua lokasi utama iaitu Tawau dan Semporna, Sabah, dari 21 hingga 25 Februari 2025. Program ini merupakan inisiatif yang penting dalam memperkukuhkan jaringan antara Pusat Alumni UPSI dan komuniti alumni yang berada di luar kawasan Semenanjung Malaysia.

Program ini telah disertai alumni AKSB dari pelbagai era yang bermastautin di sekitar Tawau dan Semporna. Objektif utama program ini adalah untuk mengumpul maklumat terkini alumni yang tidak dapat hadir ke program-program alumni di kampus kerana jarak yang jauh. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengajak alumni melanjutkan pengajian mereka ke peringkat pascasiswazah di UPSI serta memberi peluang kepada alumni untuk menyumbangkan kembali ilmu dan kepakaran mereka kepada universiti.

Penyerahan cenderamata Pusat Alumni oleh Pengarah Pusat Alumni kepada alumni AKSB

Sesi pertemuan bersama alumni ini turut diserikan dengan penyerahan cenderamata Pusat Alumni oleh Pengarah Pusat Alumni sebagai tanda penghargaan dan kenangan kepada para alumni yang hadir. Acara ini turut mencipta momen istimewa apabila sesi fotografi diadakan bagi merakamkan detik bersejarah yang pastinya akan menjadi kenangan indah buat semua yang terlibat. Antara lain, menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Norkhalid Salimin, alumni merupakan aset dan tonggak universiti dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat. Keterlibatan alumni dalam komuniti mencerminkan penglibatan universiti dengan masyarakat.

Sesi fotografi alumni AKSB bersama Pengarah Pusat Alumni di Tawau, Sabah

Program Kembara Santuni Alumni AKSB 2025 ini juga memberi ruang kepada pihak Pusat Alumni UPSI untuk berkongsi kejayaan terkini bersama para alumni dan mendapatkan idea serta pandangan mereka dalam usaha meningkatkan kecemerlangan universiti. Input yang diperolehi daripada alumni ini akan membantu dalam penyediaan data yang diperlukan.

Usaha murni ini jelas menunjukkan komitmen Pusat Alumni UPSI dalam mengeratkan hubungan dengan alumni walaupun berada jauh dari kampus utama. Melalui program seumpama ini, Pusat Alumni dapat memperkukuhkan ikatan silaturahim di samping menyebarkan mesej penting mengenai peranan alumni dalam memajukan universiti dan membina jaringan kerjasama yang lebih kuat pada masa hadapan.