oleh: Wan Nafisah Wan Abd Halim, Ahmad Afifi Nik Asri dan Cik Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim, 9 Mac 2025- Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI telah berjaya menganjurkan Program Forum Perdana Permata Ramadan yang bertemakan “Taqwa, Unity and Blessing.”
Program berinspirasi ini diadakan secara atas talian melalui platform YouTube rasmi Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI, sekali gus membuka ruang penyertaan yang lebih luas kepada masyarakat.
Forum ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai persatuan mahasiswa, antaranya Persatuan Pendidikan Islam UPSI, Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu UPSI, Persatuan Mahasiswa Sains UPSI, Rakan Siswa YADIM UPSI, Persatuan Pengajian Malaysia UPSI, Persatuan Pengurusan dan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Persatuan Bahasa Arab UPSI, Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah & Undang-Undang USIM serta Jawatankuasa Siswa/i Kolej Kediaman Sutera Indah USIM.
Seramai 919 peserta yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), serta orang awam telah menyertai forum yang penuh dengan pengisian ilmiah ini.
Dua panel jemputan yang berpengalaman telah berkongsi ilmu dan pandangan berharga dalam forum ini, iaitu Ketua Jabatan Pengajian Islam, Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Prof. Madya Dr. Husna Husain dan Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM., Dr. Wan Muhammad Shaker.



Forum ini menumpukan kepada perbincangan mengenai definisi taqwa, serta bagaimana membentuk kesatuan ummah dalam melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT.
Para peserta mendapat pencerahan tentang peranan taqwa dalam memperkukuh ukhuwah dan membina masyarakat yang diberkati.
Antara persoalan menarik yang dikemukakan oleh moderator ialah, “Sesetengah kajian menunjukkan bahawa keberkesanan Ramadan dalam membentuk taqwa bergantung kepada kefahaman seseorang tentang ibadah itu sendiri.
Bagaimana kita boleh memastikan masyarakat memahami Ramadan secara lebih holistik dan bukan sekadar ritual tahunan?” Menjawab persoalan ini, Profesor Madya Dr. Husna menegaskan bahawa “Bukan sekadar kefahaman tentang ibadah yang menjadi keutamaan, tetapi pegangan dan kekuatan akidah seseorang itu lebih penting untuk difahami.
Keimanan serta ketaqwaan individu memainkan peranan dalam membentuk tanggapan seseorang terhadap amal ibadah.”
Selain itu, Dr. Wan Muhammad Shaker turut berkongsi tiga tips penting bagi menjadikan Ramadan sebagai medan mencelikkan masyarakat bukan sahaja dalam ibadah, tetapi juga dalam ilmu. Antara tips yang dikongsikan ialah:
- Peranan individu – Mempunyai azam dan dahagakan ilmu.
- Manfaatkan media sosial – Menggunakan platform digital untuk penyebaran ilmu.
- Peranan institusi – Institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat.
Sebagai penutup program, sesi cabutan bertuah telah diadakan bagi menghargai penyertaan aktif peserta. Beberapa peserta bertuah berjaya membawa pulang hadiah menarik sebagai tanda penghargaan daripada pihak penganjur.
Sesi ini turut menambahkan kemeriahan program serta menggalakkan penglibatan lebih ramai peserta dalam aktiviti ilmiah seperti ini.

Secara keseluruhannya, Forum Perdana Permata Ramadan berjaya mencapai objektifnya dalam mengimarahkan bulan Ramadan dengan ilmu yang bermanfaat.
Program ini juga berjaya mengeratkan hubungan dalam kalangan peserta daripada pelbagai latar belakang, sekaligus membuktikan bahawa Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan penyatuan ummah melalui ilmu dan kebaikan.
Selain itu, program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti (SDG 4) dengan memberikan akses kepada ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat secara inklusif.
Program ini juga seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang menekankan pembangunan insan secara holistik dari segi intelektual, rohani, emosi, dan sosial bagi melahirkan individu yang berilmu, berakhlak, dan berdaya saing dalam masyarakat.
