Oleh: Arissa Hasya Auni
Tanjong Malim, 31 Mac 2025 – Bersempena 1 Syawal yang jatuh pada hari ini, Pejabat Karang Mengarang (PKM) buat pertama kali memperdengarkan lagu raya kecerdasan buatan atau A.I bertajuk “Yo Vibes Raya PKM”.
Lirik ditulis oleh Timbalan Pendaftar Kanan PKM, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain ini mengandungi antara bait-bait seperti “Syawal menjelma, semua pun teruja. Di pejabat berkumadang lagu raya, hiasan kad tanda ucapan mesra, salam dihulur, eratkan kita”.
Menurut Ahmad, lagu raya PKM ini unik kerana mempunyai lirik yang ditulis nama Pejabat Karang Mengarang. Lirik tersebut iaitu “Syawal sebulan, kita raikan, Pejabat ceria, erat hubungan. Selamat Hari Raya, semua kenalan, Pejabat Karang Mengarang ucapkan!”.

Lagu raya A.I menggunakan aplikasi SUNO ini disiarkan melalui video berbentuk siaran berita dengan menampilkan seorang Penyampai Berita A.I sebelum ditunjukkan klip video lagu raya PKM. Petikan lagu A.I ini boleh diakses di Tik Tok manakala lagu penuh boleh didapati di Youtube berikut.
“Pembikinan video ini dihasilkan susulan daripada pengetahuan yang ditimba dalam “Kursus Asas AI Powered Video Creation: Text To Visual Storytelling” kendalian Encik Mohd Shahran Daud, Penerbit Rancangan Bahagian Komunikasi Korporat” kata Ahmad lagi.
Sempena Syawal ini juga, PKM turut membuat rakaman ucapan selamat hari raya melibatkan 23 orang kakitangan dan 3 orang Skim Pelajar Bekerja serta 2 pelajar Latihan Industri.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin diucapkan kepada semua” ucap Pengarah PKM, Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penarafan dan Pengantarabangsaan), Dr Laili Farhana Md Ibharim memberi serangkap pantun yang berbunyi “Cahaya pelita indah berseri, Selamat Hari Raya Aidilfitri.”
“Selamat Menyambut Hari Raya, semoga berbahagia bersama keluarga” tambah Dr Laili.
