Para peserta dan pendidik bersama pegawai bomba dan penyelamat, Presint 7, Putrajaya
Putrajaya, 10 April 2025 – Seramai 96 orang kanak-kanak dari Tadika Bitara NCDRC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Program Eksplorasi Si Cilik Bersama Bomba yang berlangsung di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Presint 7, Putrajaya.
Program ini dianjurkan oleh pasukan guru pelatih NCDRC dengan kerjasama guru dan pembantu Tadika Bitara. Ia bertujuan memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai aspek keselamatan kebakaran serta menghargai peranan penting anggota bomba dalam masyarakat. Selain memberi pendidikan keselamatan, program ini turut membina hubungan positif antara komuniti dan pasukan keselamatan negara.

Sepanjang demonstrasi kebakaran yang dijalankan, kelihatan wajah-wajah si cilik yang teruja dan penuh rasa ingin tahu. Mereka mendengar penerangan daripada pegawai bomba dengan penuh minat. Lebih mengujakan, terdapat juga beberapa orang kanak-kanak yang begitu bersemangat dan aktif untuk melibatkan diri secara langsung dalam demonstrasi tersebut bersama pegawai bomba. Pada detik ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi pengalaman yang sukar dilupakan oleh anak-anak kecil ini.

Menurut Pn. Mimi Baijura Mohd Yusuff, Penyelia Tadika BITARA NCDRC, “Aktiviti ini sangat sesuai dan memberikan pendedahan secara terus kepada kanak-kanak di samping dapat belajar dan meneroka dengan seronok.” Selain itu, pengarah program, Muhammad Alif Qusairy Zulkafli turut menyatakan
bahawa kejayaan penganjuran program ini tidak hanya terletak pada aspek perancangan dan logistik, tetapi juga komitmen tinggi pasukan guru pelatih yang bertungkus lumus memastikan kelancaran setiap aktiviti. Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai salah satu usaha memperkasa pendidikan keselamatan sejak peringkat awal kanak-kanak.
“Sebenarnya kejayaan program ini bukan datang hanya daripada usaha saya sendiri, akan tetapi
kerana saya mempunyai pasukan yang hebat dalam memberikan komitmen sebelum dan semasa program dijalankan. Selain itu, saya menzahirkan rasa syukur kerana program ini dapat dilaksanakan dengan mendapat sokongan dan dorongan penuh daripada guru-guru Tadika Bitara dan pengurusan NCDRC sendiri kepada kami pendidik pelatih dalam memberikan yang terbaik kepada anak-anak yang dianggap sebagai permata yang amat berharga.”


Program ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran luar bilik darjah yang bermakna. Anak-kanak menunjukkan keterujaan dan keberanian mencuba aktiviti baharu, sekaligus meningkatkan keyakinan diri mereka. Selain itu, kehadiran guru pelatih sebagai penggerak utama membuktikan keberkesanan latihan berasaskan pengalaman atau experiential learning dalam membina kemahiran pedagogi dan komunikasi bersama kanak-kanak.