Pendidik Pelatih di Tadika Bitara NCDRC yang terdiri daripada pelajar-pelajar dari jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-kanak)

Oleh: Nadiah Sabri (Pendidik Pelatih NCDRC)

Tanjong Malim- Dalam suasana penuh keberkatan sempena bulan Ramadan, Pendidik Pelatih Tadika Bitara di bawah naungan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya melaksanakan Program Berkongsi Kasih, Eratkan Jalinan sebagai salah satu inisiatif mendidik kanak-kanak tentang nilai-nilai murni yang digalakkan dalam Islam.
Program ini yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang melibatkan kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun, ibu bapa, pendidik, serta pelatih praktikal. Bertepatan dengan semangat Ramadan yang menekankan keprihatinan, kesederhanaan, dan keikhlasa

Mendidik Anak-anak Menjadi Insan Penyayang Sejak Kecil

Aktiviti dimulakan dengan sesi pengenalan mengenai bubur lambuk, makanan ikonik yang sering diagihkan kepada masyarakat dalam bulan puasa. Kanak-kanak kemudian dibahagikan mengikut kumpulan umur untuk menjalankan aktiviti penyediaan bahan masakan bersama pendidik dan pendidik pelatih. Mereka terlibat dalam tugas-tugas ringan seperti membasuh beras, memotong sayur dan menuang santan, sambil belajar bekerjasama dan saling membantu. Setelah bubur lambuk siap dimasak, sesi pembungkusan dan pengagihan dijalankan. Kanak-kanak secara simbolik menyerahkan bungkusan bubur kepada kakitangan dan rakan-rakan NCDRC dengan penuh rasa bangga dan gembira, memperlihatkan kefahaman awal mereka tentang erti bersedekah dan berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan.

Guru-guru dan pendidik pelatih membuat persediaan sebelum memulakan aktiviti
memasak bubur lambuk

Menghayati Nilai Ramadan dalam Aktiviti Harian

Menurut pengarah program, Nurhaziqah Salimin, pelaksanaan program ini bertepatan dengan semangat bulan Ramadan yang menggalakkan umat Islam untuk memperbanyakkan amalan mulia seperti bersedekah dan membantu orang lain. “Kita ingin mendidik kanak-kanak bahawa memberi itu satu perbuatan yang mulia, lebih-lebih lagi di bulan yang penuh keberkatan ini. Walaupun mereka masih kecil, mereka telah diberi ruang untuk mengambil bahagian dalam satu amalan yang besar nilai pahalanya.” katanya. Beliau turut menekankan bahawa aktiviti sebegini bukan sahaja memberi pengalaman baharu
kepada kanak-kanak, malah dapat mengeratkan silaturahim antara ibu bapa, pendidik dan komuniti tadika.

Sambutan Hangat & Impak Positif

Program ini menerima sambutan amat menggalakkan. Kanak-kanak kelihatan teruja sepanjang aktiviti berlangsung dan menunjukkan komitmen tinggi dalam setiap tugasan yang diberikan. Selain daripada meningkatkan kemahiran motor halus, program ini juga membantu kanak-kanak memahami peranan mereka dalam masyarakat dan bagaimana mereka juga boleh memberi walaupun dalam cara yang kecil. Ibu bapa yang turut menyumbangkan bahan-bahan penyediaan bubur lambuk menyatakan rasa gembira dan bangga melihat anak-anak mereka terlibat aktif dalam program keagamaan dan sosial yang memberi nilai tambah kepada perkembangan sahsiah mereka.

Program Berkongsi Kasih, Eratkan Jalinan sempena Ramadan ini telah mencapai objektifnya bukan sahaja dari segi perkembangan fizikal dan sosial kanak-kanak, malah dari sudut pembinaan akhlak dan jiwa penyayang dalam kalangan generasi muda. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan setiap tahun sebagai salah satu usaha berterusan dalam mendidik anak-anak memahami erti sebenar Ramadan, kasih sayang, dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat.