Oleh: Wan Nafisah Wan Abd Halim, Kamalia Izzati Ahmad Rahimi & Cik Ummikalsum Mat Lazim

Tanjong Malim, 16 Mac – Kesedaran dan kecintaan terhadap al-Quran terus subur dalam kalangan mahasiswa apabila program Ilmiyyah Talk Cahaya Nuzul: Hikmah di Sebalik Kalamullah berjaya menarik lebih 700 tontonan secara langsung, menandakan sambutan hangat dan minat tinggi terhadap pengisian rohani sempena Ramadan al-Mubarak.

Program anjuran Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) dengan kerjasama Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) dan Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ini bertujuan menyemarakkan semangat menghayati al-Quran dalam kalangan generasi muda, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pelbagai persatuan mahasiswa merentasi institusi, termasuk Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu UPSI, Persatuan Mahasiswa Sains UPSI, Rakan Siswa YADIM UPSI, Persatuan Pengajian Malaysia UPSI, Persatuan Pengurusan dan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Persatuan Bahasa Arab UPSI, Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), serta Jawatankuasa Siswa/i Kolej Kediaman Sutera Indah USIM.

Kerjasama erat antara UPSI, UM dan USIM ini bukan sahaja memperlihatkan kesatuan fikrah mahasiswa Islam, malah menjadi cerminan ukhuwah yang tulus dalam usaha memartabatkan ilmu al-Quran sebagai panduan hidup.

Ucapan perasmian oleh Ustazah Ummikalsum, Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI

Menurut Penasihat Persatuan Tahfiz Qiraat, Ustazah Ummikalsum, program ini bukan sahaja menjadi platform penyebaran ilmu yang bermanfaat, tetapi turut memperkukuh kecintaan mahasiswa terhadap al-Quran.

“Program seperti ini membuktikan bahawa mahasiswa kita bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga memiliki kesedaran spiritual yang tinggi. Saya amat berbangga dengan usaha kolaboratif antara universiti dan persatuan yang menjadikan Ramadan sebagai medan untuk mendidik hati dan menyatukan ummah,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar program berimpak tinggi seperti ini diteruskan secara konsisten pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai institusi dan masyarakat umum.

Ucapan oleh Pengarah Program Saudari Wan Nafisah Wan Abd Halim

Program ini dimulakan dengan ucapan pengarah program iaitu saudari Wan Nafisah Wan Abd Halim. “Diharapkan program ini dapat menjadi platform untuk meningkatkan kefahaman mengenai peristiwa penurunan al-Quran yang merupakan mukjizat teragung serta memperkukuh keikhlasan dalam beribadah, menyemai nilai-nilai kebaikan dan kebersamaan dalam kalangan mahasiswa sepanjang bulan yang mulia ini,” katanya.

Sorotan utama program menyaksikan penyampaian ceramah oleh Ustaz Mohamad Saiful bin Marzuki, pendakwah muda yang juga pemenang tempat ketiga rancangan Da’i Pendakwah Nusantara Musim Ke-4.

Dengan aura tersendiri dan penyampaian yang dekat di hati anak muda, beliau yang juga pempengaruh media sosial dengan lebih 40,000 pengikut di Instagram dan TikTok, berjaya menyentuh jiwa audiens dengan kupasan yang bersahaja, tetapi penuh hikmah.

Kesimpulannya, Program Ilmiyyah Talk Cahaya Nuzul bukan sekadar sebuah ceramah biasa, tetapi menjadi wahana penting dalam memupuk kefahaman mendalam terhadap hikmah penurunan al-Quran serta memperkasa sahsiah dan jiwa Qurani dalam kalangan mahasiswa.

Penganjuran yang melibatkan kerjasama pelbagai institusi ini jelas membuktikan bahawa sinergi antara ilmu, iman dan ukhuwah mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, malah seimbang dari segi rohani dan akhlak.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pihak.