Oleh : Noorazwani Mohamad Azmi & Chempaka Nur Ariesha Juhari

Tanjong Malim,  13 April 2025 – Persatuan Geografi (PERGEO) dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Sambutan Hari Raya Aidilfitri & Anugerah Kecemerlangan Pelajar AT33 2024/2025 yang bertujuan untuk meraikan bulan Syawal yang penuh kemuliaan serta memberi penghargaan kepada mahasiswa yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik.

Program ini telah dikendalikan oleh Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah bersama Exco Akademik & Kerjaya PERGEO bagi sidang 2024/2025.

Penganjuran kedua-dua program ini diharap dapat memupuk nilai-nilai murni seperti kesyukuran, penghargaan, perpaduan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli PERGEO.

Seramai 252 orang peserta telah menyertai program ini dan turut dihadiri oleh 6 orang pensyarah dari Jabatan Geografi dan Alam Sekitar.

Program berlangsung dari jam 9:00 pagi hingga 2:00 petang dan telah diadakan di Dewan SITC, UPSI. Majlis dimulakan dengan sesi bacaan Yasin dan doa khusus yang ditujukan kepada  pensyarah-pensyarah Jabatan Geografi dan Alam Sekitar yang telah kembali ke rahmatullah, sebagai tanda penghargaan atas jasa dan ilmu yang telah mereka curahkan.

Doa kesembuhan turut dibacakan buat pensyarah yang sedang diuji dengan kesakitan, agar diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan.

Sesi ini berlangsung dalam suasana tenang dan penuh penghayatan, menggambarkan nilai kasih sayang dan hormat yang tinggi daripada para pelajar terhadap tenaga pengajar mereka Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Jabatan Geografi dan Alam Sekitar iaitu Profesor Madya Dr Hanifah binti Mahat yang telah menekankan kepentingan menghargai segala pencapaian dan usaha sepanjang semester, disusuli dengan ucapan perasmian oleh Profesor Madya Dr Kamarul Bin Ismail, Timbalan Dekan (Jaringan Industri & Pengkomersilan).

Dalam ucapannya, beliau memuji inisiatif PERGEO dalam meraikan Syawal dengan penuh makna sambil menyemai semangat kecemerlangan dan integrasi dalam kalangan mahasiswa.