Oleh: Alisya Hana Hussin, Mohammad Naim Abdullah dan Dr. Nur Ainul Basyirah Alias

Tanjong Malim, 9 April 2025- Persatuan Pendidikan Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (PPI) bagi sidang 2024/2025 telah menganjurkan sebuah program yang bertajuk “Sembang Santai: Ilmu dan Keberkatan: Apakah Hubungannya?” secara atas talian melalui platform Google Meet dan disiarkan secara langsung di Facebook Live.

Program ini mendapat kerjasama daripada Persatuan Mahasiswa Pendidikan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Rakan Siswa Yadim UPSI, Kelab Al-Mursyidin UPSI dan Persatuan Tahfiz Qiraat UPSI.

Seramai tiga orang panel jemputan telah menghadiri bagi berkongsi pandangan dan ilmu dalam program ini. Panel pertama ialah Dr. Ahmad Faizuddin bin Ramli, Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Panel kedua Muhammad Fawwaz Izzat bin Faizul Aizar, Yang Dipertua Persatuan Pendidikan Islam 2024/2025, manakala panel yang ketiga ialah Che Ahmad Syauqi bin Che Seri Ismail, Timbalan Yang Dipertua PMAP 2024/2025.

Menariknya, program ini turut membuka ruang penyertaan kepada pelajar dari UPSI dan UniSZA, sekali gus memperluaskan impak dan manfaat kepada komuniti mahasiswa secara umum.

Program ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan untuk memberikan panduan dan motivasi kepada semua peserta dalam menempuh semester baharu dengan penuh semangat dan memperoleh keberkatan. Program ini juga bertujuan untuk menyedarkan mahasiswa/i tentang kepentingan menuntut ilmu dengan niat yang ikhlas, selain melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

Perkongsian ini turut menekankan bahawa keberkatan dalam menuntut ilmu bukan hanya sekadar untuk mencapai kejayaan semata-mata, tetapi juga untuk membentuk peribadi dan nilai hidup yang memberi manfaat kepada diri, masyarakat, dan negara.

Selain itu, program ini juga memberi ruang untuk membuka minda pelajar bahawa kejayaan akademik bukan hanya terletak pada pencapaian gred semata-mata, tetapi juga pada keberkatan yang diperoleh melalui usaha, niat yang baik, dan amal soleh dalam proses menuntut ilmu. Hal ini dapat melahirkan pelajar yang lebih bersedia untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan negara, bukan hanya sebagai individu yang berjaya di dunia tetapi juga di akhirat.

Kesimpulannya, program ini diharapkan dapat memberi inspirasi, membuka minda, dan memupuk kesedaran dalam kalangan mahasiswa/i tentang pentingnya ilmu yang berkat sebagai kunci kejayaan dan kesejahteraan hidup.