Tanjong Malim, 10 April – Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), UPSI dengan kerjasama Persatuan Sains Komputer (PSK) dan juga Persatuan Permainan Digital (PPD) telah menganjurkan Diploma Innovative and Creative Exhibition (DICE 2025) pada hari Khamis, 10 April 2025 di Ruang Legar Dewan Konvensyen, Bangunan E-learning, KSAJS, UPSI. Program ini menjadi platform bagi pelaksanaan bengkel, pameran projek akhir tahun serta menjadi wadah pertemuan antara industri dan pelajar yang terdiri daripada pelajar Semester Lima Diploma di bawah Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital (JSKTD).
Peserta DICE’25 adalah terdiri daripada 34 orang masing – masing daripada Program Diploma Sains Komputer (Komputeran Internet) and juga Diploma Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan yang mengambil kursus Projek Tahun Akhir. Seramai 28 Ahli Jawatankuasa telah bertungkus lumus memastikan DICE’25 berjalan lancar manakala 24 juri yang merupakan pakar dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Digital telah dijemput bagi menghakimi projek tahun akhir peserta.

Pada majlis penutup pameran, kesemua 24 orang juri telah terlibat untuk memilih pemenang bagi anugerah mengikut kategori yang ditetapkan. Kategori yang dipertandingkan adalah poster tercantik, pembentang terbaik dan projek tahun akhir terbaik bagi kedua-dua kursus diploma. Selain menilai hasil projek tahun akhir, program DICE’25 juga melibatkan pelaksanaan dua program tambahan iaitu Bengkel Web Framework Kickstart a Beginner’s Guide dan Bengkel Level Up! Your First 2D Game in Unity dengan kerjasama Pusat Alumni UPSI.
Majlis Penutup DICE’25 telah dirasmikan oleh YBrs. Ts. Dr. Hj. Nazre bin Abdul Rashid, Timbalan Dekan (HEPA) META. Ketua Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital iaitu YBrs. Dr. Mohd. Hishammudin bin Abdul Rahman juga turut hadir bagi menyerikan lagi majlis penutup tersebut. Majlis dimulakan dengan ucapan pengarah Program, Saudari Intan Nurfarawardina binti Baktiar dan diteruskan dengan ucapan Timbalan Dekan (HEPA) serta penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Usai Majlis Penutupan DICE’25, semua peserta dikejutkan dengan kunjungan tanpa dirancang oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI yang kebetulan menghadiri mesyuarat di bangunan yang sama. Beliau telah memberikan kata-kata motivasi kepada semua pelajar untuk meneruskan kehidupan dalam dunia yang semakin mencabar. “Be brave, be crazy, and dare to fail because that is where we learn to be better, stronger, and truly unstoppable“, adalah titipan nasihat beliau kepada semua peserta yang bakal bergraduat seterusnya akan menempuh alam pekerjaan tidak lama lagi.

