UPSI, 16 April — Amir Aziz bin Zool Kapli, pelajar Semester 2 Diploma Sains Komputer, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META), UPSI menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,050.00 hasil kutipan warga META, selepas kediamannya di Kampung Kuala Sungai Baru, Subang Jaya terkesan akibat letupan dan kebakaran paip gas pada 1 April 2025 yang lepas.

Dalam kejadian berkenaan, bumbung rumah Amir mengalami kerosakan, tangki air dan sebuah kereta milik keluarganya turut mencair pada bahagian tertentu akibat bahang api yang kuat. Kejadian itu menyebabkan Amir sekeluarga mengalami kerugian yang besar dan terpaksa berteduh sementara di PPS yang disediakan oleh pihak berwajib.
Majlis penyerahan bantuan telah diadakan secara ringkas oleh Dekan META, Prof. Madya Dr. Ing. Maizatul Hayati binti Mohamad Yatim. Bantuan ini merupakan hasil kutipan oleh para pensyarah, staf dan pelajar META sebagai tanda solidariti kepada Amir.
“Sumbangan ini adalah bukti keprihatinan dan semangat kekeluargaan warga META. Kita tidak mahu ada pelajar yang merasa keseorangan dalam saat genting seperti ini,” ujar Dr-Ing. Maizatul Hayati binti Mohamad Yatim dalam kenyataan ringkas beliau.

Di samping itu, Amir pula menyatakan rasa syukur dan terharu dengan bantuan yang diterima. “Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku, tapi sokongan yang saya terima dari META dan UPSI sangat memberi kekuatan. Terima kasih kepada semua yang menyumbang dan mendoakan,” katanya ketika ditemui selepas sesi penyerahan.
Pihak UPSI turut memaklumkan bahawa sesi kaunseling dan bantuan susulan akan terus disediakan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan Amir tidak terjejas sepanjang tempoh pemulihan.
Siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati kebocoran paip gas bawah tanah dipercayai menjadi punca letupan besar yang menggegarkan kawasan sekitar. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun beberapa kediaman berdekatan turut mengalami kerosakan.
