Tanjong Malim, 21 April 2025- Guru-guru Bahasa Melayu dari semua 57 MRSM seluruh negara telah berkampung di Mercure Hotel, Selayang untuk mempelajari Pedagogi Generatif Artificial Intelligence (Gen AI) daripada pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Nik Muhammad Hanis dan Dr Mohd Muslim serta Rais Mujahid, Pembantu Penyelidik FPM. Kursus selama 2 hari, pada 15 dan 16 April lalu bertujuan untuk memindahkan kemahiran kaedah mengajar pedagogi dengan integrasi teknologi menggunakan 11 aplikasi generatif AI terkini.

“Kaedah mengajar akan menjadi lebih seronok, mudah difahami dan berimpak tinggi dengan adanya integrasi teknologi Gen AI, dan setiap penyediaan bahan bantu mengajar serta setiap proses pedagogi induksi pengajaran, isi kandungan pengetahuan pembelajaran, pengukuhan, pentaksiran serta rumusan penutup akan menjadi lebih menarik. Ini akan menambah motivasi pelajar untuk belajar,” kata Dr. Nik Muhammad Hanis, ketua perunding bagi kursus ini.

“Kita tidak hanya mengetengahkan kaedah prompting untuk menjana bahan, tapi yang jauh lebih penting bagaimana untuk integrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Maka, kita perlu faham pendekatan dan proses pedagogi, kemudiannya integrasikan generatif AI, itulah yang kita sebut sebagai Pedagogi Gen AI,” katanya lagi.

Kursus ini adalah edisi kedua setelah kali pertama dijayakan pada tahun lepas kepada guru-guru Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan MRSM seluruh negara.

Semoga guru-guru MRSM dapat mengaplikasikan pedagogi gen AI dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing, seterusnya memberi kesan positif kepada pelajar. Pensyarah-pensyarah di Fakulti Pembangunan Manusia sentiasa komited dalam membangunkan potensi guru-guru seluruh negara dalam dunia pendidikan dan latihan seiring dengan perubahan dan keperluan semasa.