oleh : Adilah Zaimi, Abdul Azim Kasri, Farhan Hakimi Khairul Aizam dan Cik Ummikalsum Mat Lazim
Slim River, 13 April 2025 – Barisan kepimpinan Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ) telah menganjurkan program santai bertemakan “Cherished Connection” bertempat di Sungai Bil, Slim River.
Program ini telah menghimpunkan seramai 25 orang ahli pimpinan PTQ dan turut mendapat suntikan semangat daripada kehadiran Penasihat PTQ, Ustazah Ummikalsum Mat Lazim.
Berlatarkan suasana alam yang mempersonakan serta udara yang nyaman, lokasi program ini bukan sekadar indah di pandangan mata, malah turut memberi ketenangan minda dan ruang refleksi bagi memperkukuh hubungan sesama pimpinan.


Dua aktiviti utama telah dijalankan sepanjang program, iaitu Ḥaqīqah Am Khayāl? yang bertujuan memahami keunikan setiap individu dalam pasukan, dan Kapal Bitara, sebuah aktiviti kreatif untuk menguji daya kepimpinan, kerjasama dan kebolehan menyelesaikan masalah secara strategik.
Menurut Yang Dipertua Persatuan Tahfiz Qiraat (PTQ), Saudara Azim Kasri, program Cherished Connection ini merupakan satu inisiatif penting dalam menyemai semangat kebersamaan dan menyusun langkah strategik barisan kepimpinan ke arah kecemerlangan persatuan.
“Program ini bukan sekadar aktiviti santai, tetapi menjadi medan untuk kita mengenali potensi diri dan rakan seperjuangan. Dalam mana-mana organisasi, kefahaman terhadap personaliti dan keupayaan masing-masing amat penting agar gerak kerja dapat disusun secara harmoni dan berkesan.”
Tambah beliau lagi, program ini juga selaras dengan semangat ‘PTQ Mendonia’, di mana setiap ahli kepimpinan perlu bersedia untuk melakar impak yang lebih besar bukan sahaja dalam kampus, tetapi juga di peringkat masyarakat luar.


Beliau turut menekankan bahawa semangat ukhuwah, kepimpinan beretika, serta kecekapan dalam merancang program merupakan asas kepada kejayaan sesebuah organisasi mahasiswa.
Menurut Ustazah Ummikalsum dalam ucapannya, “Persatuan yang hebat adalah mampu menghadapi cabaran dan rintangan bersama.
Program pada hari ini menyediakan ruang untuk kita merancang dan membahas strategi dalam menghadapi sebarang halangan. Kepimpinan yang berkesan lahir daripada kesatuan hati dan kesediaan untuk berkorban demi organisasi.
Beliau menyifatkan program Cherished Connection sebagai satu platform yang sangat bermakna dalam membentuk jati diri dan keserasian dalam kalangan barisan pimpinan PTQ. Sesungguhnya, setiap langkah yang diambil adalah bukti kesungguhan kita untuk mengukuhkan visi dan mencapai matlamat.”
Penganjuran Cherished Connection ini juga seiring dengan usaha menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Antara matlamat yang diketengahkan ialah SDG 3: Kehidupan Sihat dan Kesejahteraan, melalui pelaksanaan aktiviti fizikal yang menyeronokkan dalam suasana santai tetapi bermakna.
Selain itu, ia turut menyokong SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat, apabila ahli-ahli pimpinan dapat bekerjasama merancang program dan memperkukuh jaringan ukhuwah demi kecemerlangan organisasi.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja menyuntik semangat kepimpinan, malah mengasah soft skills dan membina karakter mahasiswa yang kalis cabaran dan berdaya saing, seiring dengan aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta menjunjung hasrat UPSI dalam melahirkan mahasiswa BITARA yang unggul dalam pelbagai aspek.
